Peruntukan untuk barangan guna habis tidak dinaikkan walaupun lebih 10 juta kes pesakit luar dicatatkan pada 2016.
Pakar kesihatan kecewa penjagaan kesihatan masih dikenakan GST, meskipun Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berulangkali menyeru penjagaan kesihatan dikecualikan daripada cukai itu.
Presiden MMA Dr Ravindran R Naidu berkata pihaknya kecewa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan pengecualian GST untuk perkara lain kecuali penjagaan kesihatan.
“Apabila kami menyerahkan senarai harapan kami kepada perdana menteri, kami tonjolkan kebimbangan utama ialah perlaksanaan GST dalam penjagaan kesihatan. Penjagaan kesihatan antara perkhidmatan paling asas untuk rakyat tetapi tidak diberi pengeculian GST. Jadi agak mengecewakan,” katanya kepada FMT.
FMT baru-baru ini menonjolkan masalah yang dihadapi hospital dan klinik kerajaan akibat kekurangan dana seperti kekurangan ubat, barangan habis guna, regen untuk ujian darah, kerosakan alatan tidak dibaik pulih, dan penggunaan ubat generik.
Perdana menteri hari ini dalam pembentangan Bajet 2018 hari ini mengumumkan peruntukan sejumlah RM27 bilion untuk penjagaan kesihatan, berbanding RM25 bilion dalam belanjawan 2017. Seperti mana tahun lepas, RM4 bilion diperuntukkan untuk bekalan ubat, barangan habis guna, vaksin dan regen di semua hospital dan kemudahan kerajaan.
Ravindran menyambut baik peningkatan RM2 bilion untuk penjagaan kesihatan secara keseluruhan namun berharap ia tidak dipotong pada masa depan.
“Tahun lepas mereka memperuntukkan RM25 bilion untuk penjagaan kesihatan tetapi kemudian mereka potong peruntukan itu. Kalau mereka sekali buat begitu, kita hanya akan kembali ke takuk lama,” katanya.
Beliau berkata tambahan RM100 juta untuk bekalan perubatan dan barangan habis guna memadai asalkan tidak dipotong seperti sebelum ini.
“Keadaan juga bergantung kepada jumlah pesakit di hospital kerajaan. Ia mungkin tidak mencukupi kalau pesakit bertambah,” tegas Ravindran.
“Peruntukan paling penting ialah regen, bekalan dan barangan habis guna. Apa yang akan berlaku apabila berlaku kekurangan pada 3 perkara itu ialah mereka mungkin akan mengambil wang daripada tempat lain kerana ada tambahan RM2 bilion daripada belanjawan keseluruhan. Itu pun kalau peruntukan tidak dipotong.”
Kes pesakit luar dijangka meningkat
Ketua eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan & Sosial, Azrul Mohd Khalib terkejut peruntukan untuk ubat, barangan habis guna, vaksin dan regen tidak berubah.
“Ia tidak berubah walaupun kerajaan pernah menyentuh isu ini. Ada lebih 10 juta kes pesakit luar dicatatkan pada 2016 berbanding tahun lepas. Tahun ini dijangka berakhir dengan bilangan lebih tinggi.”
Read More / Baca Lagi >>