(Ubah saiz teks)
ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir kilat di Kedah setakat pukul 9 malam ini meningkat kepada 116 orang berbanding 73 orang petang tadi.
Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) tiga pusat pemindahan yang menempatkan 22 keluarga dibuka di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.
Di Kota Setar, dua pusat pemindahan dibuka pada pukul 8 malam iaitu di Sekolah Kebangsaan Haji Abu Bakar yang menempatkan 26 mangsa daripada tujuh keluarga manakala 17 mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di Maahad Darul Hasimie.
Di Kubang Pasu, 73 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di Dewan Kampung Lahar, Jitra yang dibuka pada pukul 2 petang.
Hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan beberapa kawasan lain dinaiki air namun tidak melibatkan proses pemindahan.-Bernama