Update CUEPACS jangka habuan buat penjawat awam >> Berita Malay 18

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yakin cadangan memperbaiki sistem gaji penjawat awam akan dimasukkan ke dalam Bajet 2018.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata semakan terakhir gaji penjawat awam adalah 12 tahun lalu dan sudah tiba masanya ia dikaji semula, susulan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Fokus utama tentunya terhadap usaha membangunkan sistem gaji lebih baik, sekali gus membantu penjawat awam yang tertekan dengan kos sara hidup.

"CUEPACS sudah menghantar memorandum kepada kerajaan untuk mempertimbangkan 10 usul bagi menaik taraf dan memperbaiki kedudukan kakitangan kerajaan.

"Saya yakin sekiranya kerajaan ada iltizam membantu rakyat, kita boleh menjadi negara maju yang mengutamakan kebajikan rakyat," katanya dihubungi BH, hari ini.

Azih turut mengetengahkan isu penjawat awam golongan miskin bandar berikutan majoritinya sering membuat pinjaman peribadi untuk menampung kos kehidupan yang cukup tinggi.

"Miskin bandar ini lebih teruk berbanding di luar bandar kerana mereka tidak boleh bercucuk-tanam untuk kegunaan sendiri di kawasan kediaman.

"Apabila keadaan mendesak, keadaan mereka tidak jauh bezanya dengan golongan gelandangan.

"Satu lagi isu mendesak ialah pembelian rumah kerana rumah mampu milik yang dibina masih mahal, justeru antara saranan CUEPACS adalah membina kediaman berharga antara RM80,000 sehingga RM150,000.

"Berdasarkan keadaan ini, kerajaan wajar membuat semakan semula istilah harga dan lokasi rumah mampu milik bagi golongan sederhana," katanya.

Antara cadangan lain yang diusulkan CUEPACS adalah memohon semua penjawat awam diberi perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan penyediaan taska di tempat kerja.

Katanya, CUEPACS turut berpendapat ex-gratia tidak lagi sesuai dan kami sedia berunding untuk idea penambaikan jika kerajaan mahu meneliti perkara ini," katanya.

Sumber: Berita Harian Online


Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :