Saya merujuk kepada laporan Sinar Harian pada 3 Oktober 2017 (semalam) mengenai keluhan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad yang mengecam pendirian Pakatan Harapan bahawa insentif-insentif yang diumumkan Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada peneroka beberapa bulan lalu adalah “gula-gula” pilihanraya bagi tujuan membeli undi peneroka.
Saya senaraikan insentif-insentif yang diumumkan Dato’ Seri Najib kepada peneroka-peneroka Felda pada 23 Julai 2017 yang lalu dan peruntukan yang diperlukan untuk membayarnya:
i. Insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh dengan jumlah peruntukan RM474.78 juta
ii. Pelupusan pinjaman saham FGV yang melibatkan 77,934 peneroka yang sedang membayar pinjaman dan pampasan RM1,820 kepada setiap dari 1,626 peneroka yang telah membayar habis pinjaman, melibatkan peruntukan sebanyak RM128.10 juta
iii. Insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta
iv. Insentif geran khas tanam semula peneroka yang diluluskan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kepada Felda dengan kadar RM7,500 per hektar bagi program tanam semula Felda bermula tahun ini hingga 2020 melibatkan keluasan 24,280.31 hektar dengan peruntukan RM166.6 juta untuk empat tahun tersebut
Berdasarkan pengumuman Dato’ Seri Najib, jumlah peruntukan yang diperlukan untuk menunaikan janji “gula-gula” ini adalah RM1,288.48 juta. Daripada jumlah tersebut, hanya insentif geran khas tanam semula yang dananya datang dari luar iaitu dari MPOB. Maka, Felda memerlukan RM1,121.8 juta untuk menunaikan janji (i) hingga (iii).
Saya telah berulang kali menyatakan bahawa Felda tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar insentif-insentif ini. Saya telah menunjukkan segala analisa berdasarkan penyata kewangan kumpulan Felda yang diaudit bagi tahun-tahun 2012 hingga 2014 yang membuktikan kedudukan tunai dan prestasi kewangan Felda yang meruncing akibat dibebani dengan hutang yang tinggi.
Saya juga telah mengunjurkan bahawa hutang kumpulan Felda boleh mencecah RM12.6 bilion menjelang akhir tahun 2017 ini yang boleh meletakkan Felda sebuah entiti yang muflis, jika tidak kerana jaminan dan sokongan kewangan dari kerajaan untuk menanggung liabilitinya.
Sehingga kini tidak ada saman atau apa-apa tindakan yang diambil ke atas pelbagai analisa kewangan yang telah saya kongsikan dengan rakyat. Bukan saja tiada tindakan undang-undang, malah tiada pun penafian dari Dato’ Seri Najib atau Tan Sri Shahrir sendiri mengenai pendedahan yang memalukan Felda ini.
Sebab itu saya ingin perbetulkan kenyataan Tan Sri Shahrir semalam yang memberi alasan insentif-insentif ini bukanlah “gula-gula” kerana ia akan melibatkan perubahan berpanjangan di Felda. Tan Sri Shahrir memberi gambaran insentif-insentif ini adalah hasil dari penstrukturan semula pengurusan dan perniagaan Felda yang akan membolehkan Felda lebih maju.
Malangnya hujah Tan Sri Shahrir itu tidak dapat disokong mana-mana fakta kewangan berdasarkan analisa ke atas kedudukan aliran tunai (“cashflow”) kumpulan Felda setakat 31 Disember 2015.
Saya sertakan mukasurat 189 dari laporan kewangan kumpulan Felda yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 dengan tumpuan khusus kepada jumlah pinjaman jangka pendek (perlu dibayar dalam tempoh kurang setahun) dan jumlah pinjaman jangka panjang (perlu dibayar dalam tempoh lebih setahun), seperti berikut:
Setakat 31 Disember 2015, pinjaman jangka pendek kumpulan Felda telah meningkat dari RM1,702 juta (2014) kepada RM2,306 juta (2015).
Perincian kepada pinjaman-pinjaman yang menyumbang kepada peningkatan pinjaman jangka pendek dan jangka panjang ditunjukkan di dalam Nota 39 yang saya sertakan di bawah:
Oleh yang demikian, adalah jelas bahawa peningkatan pinjaman kumpulan Felda bagi jangka pendek (dari RM1,702 juta [2014] kepada RM2,306 juta [2015]) dan jangka panjang (dari RM7,769 juta [2014] kepada RM8,383 [2015]) adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh 3 bentuk pinjaman jangka pendek berikut:
Read More / Baca Lagi >>