Update Kuala Krai Memilih: PAS atau Umno? >> Berita Malay 18

DR Hatta Ramli menang kerusi Parlimen Kuala Krai buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) atas tiket PAS. Beliau memperoleh undi sebanyak 55%.
Pada PRU13 pula meskipun menang sekali lagi di kerusi tersebut, jumlah undi dimenangi menurun sebanyak 4% sungguhpun lawannya pula bukanlah nama nama besar dalam politik Kelantan.
Dr Hatta mulai bertanding atas tiket PAS pada 1999 dan 2004 di Parlimen Gombak. Namun pada kedua-dua PRU tersebut beliau tewas di tangan Umno.
Kerusi Parlimen Gombak ini kemudian berjaya diambil alih oleh Mohamed Azmin Ali pada PRU 2008 dan 2013.
Perpecahan dalaman PAS menyebabkan ramai golongan teknokrat dan profesional memilih keluar parti dan seterusnya membentuk sebuah parti baru dikenali sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).
Selama ini, golongan ini banyak dilabel sebagai Erdogan dan Anwarinas, merujuk pada mereka yang lebih mahukan kerjasama dengan PKR dan DAP diteruskan.
Hakikat ini membawa kepada penubuhan parti baru itu pada September 2015.
Perpecahan PAS dan tertubuhnya Amanah menyebabkan Dr Hatta berdepan laluan dan cabaran politik yang paling sukar di kawasan Parlimen Kuala Krai.
Sebagai pengarah pilihan raya beliau tentu dapat membaca senario politik di Kuala Krai yang masih lagi mempunyai budaya politik tradisional. Dengan kata lain, pengundi tempatan masih berpegang pada budaya lama seperti menyokong sepenuhnya arahan parti untuk mengundi sesiapa sahaja calon PAS asalkan calon tersebut dilihat mesra rakyat.
Dan kini Dr Hatta bukanlah lagi bertanding atas tiket PAS.
Sudah pasti masalah terbesar Amanah di Kuala Krai ialah kelemahan jentera kempen. Selama ini Dr Hatta menang kerana menggunakan jentera kempen PAS yang lebih kuat, termasuk kempen dari rumah ke rumah. Prasarana politik Amanah setakat ini belum lagi terserlah, sekurang-kurangnya di Kuala Krai.
Apabila bertanding atas tiket Amanah, sentimen isu baiah dan lafaz cerai taklik akan sentiasa dimainkan oleh jentera kempen di akar umbi. Isu kekerapan di kawasan juga akan dijadikan bahan kempen politik.
Sudah tentu sentimen ini dimanfaatkan untuk menyekat parti Pakatan Harapan (PH) bertapak di Kuala Krai.
Di Kuala Krai, pengundi lebih menghargai isu-isu yang bersifat personal touch dan berbesar hati apabila calon mereka boleh jadi imam, sentiasa bersama rakyat ketika majlis kenduri-kendara dan mengadakan pelbagai aktiviti penduduk setempat.
Apabila ada kematian bukan sahaja membantu mengimamkan solat jenayah, tetapi turut mengusung jenazah hingga ke liang lahad dan kalau boleh memandu sendiri kenderaan jenazah ke tanah perkuburan. Demikian antara kriteria penduduk tempatan ketika ditanya kriteria calon pilihan mereka.
Pertandingan tiga penjuru
Pertandingan tiga penjuru kini tidak dapat dielakkan antara Amanah, PAS dan Umno. Berdasarkan situasi di Kuala Krai, Dr Hatta dijangka tidak bertanding di Kuala Krai.
Beliau sebaliknya dijangka akan dihantar untuk bertanding di kawasan bandaran yang lebih menyerlahkan peranannya sebagai ahli politik yang memperjuangkan isu-isu nasional dan pandangan seumpama ini lebih sesuai untuk kawasan pengundi bandaran atau kelas menengah Melayu dan kawasan campuran dengan etnik Cina dan India.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :