Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed berkata penelitian itu melibatkan perkara yang belum dilaksanakan PAS sejak 1990 dan bukan sekadar merujuk rekod PAS pada PRU13.
"Ini perkara besar dan sudah pasti rakyat Kelantan ingin melihat apakah kemampuan kita, apakah yang kita boleh buat berbanding PAS," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Umno Kelantan hari ini.
Turut hadir timbalannya Ahmad Jazlan Yaakub, Setiausaha Umno negeri Hanafi Mamat, Bendahari Umno negeri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Ketua Penerangan Umno negeri Md Alwi Che Ahmad.
Beliau berkata Umno Kelantan menubuhkan jawatankuasa manifesto yang diketuai Ketua Umno Bahagian Bachok Awang Adek Hussin dan sedang melengkapkan draf yang akan dikemukakan kepada Presiden Umno Najib Razak dalam tempoh dua minggu lagi.
"Kita akan lakukan penambahbaikan manifesto untuk diselaraskan di peringkat nasional berpandukan garis panduan yang diedarkan agar menghasilkan manifesto yang realistik dan mampu dicapai," katanya.
Sementara itu, Mustapa yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata antara 30 hingga 40 peratus muka baharu bakal diketengahkan sebagai calon BN di Kelantan pada PRU14.
Beliau berkata proses pemilihan calon tersebut memasuki saringan kedua hari ini sebelum tapisan terakhir yang akan dilakukan dalam tempoh sebulan lagi.
"Kita mengambil pendekatan mengemukakan antara tiga hingga empat nama bagi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi sudah tentu muka baharu itu ramai…kita akan pilih yang terbaik sebelum (senarai) diserahkan kepada presiden Umno,” katanya.