Peranan Islam di negara ini beri kesan kepada semua orang, kata Marina Mahathir.
“Jika Islam digunakan sebagai sumber undang-undang dan dasar awam, yang akan menjejaskan semua orang, maka semua orang termasuk bukan Islam berhak mempersoalkannya,” kata Marina di wacana anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) hari ini.
Sebelum itu, seorang peserta forum berkongsi pengalaman dituduh mencampuri hal ehwal orang Islam setiap kali beliau bercakap tentang topik Islam.
Sebelum ini, pemimpin PAS dan Umno memberi amaran kepada orang bukan Islam agar tidak mengkritik rang undang-undang persendirian PAS yang mahu meningkatkan hukuman dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, dengan mendakwa ia sama seperti mencampuri hal ehwal orang Islam.
Sementara itu, Marina menyambut baik kenyataan Sultan Johor dan Sultan Selangor dalam kontroversi membabitkan seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini.
Beliau berkata pemimpin politik sepatutnya lebih awal menyatakan pendirian mereka.
“Adakah agama ajar kita menjadi taksub? Adakah Islam ajar kita melakukan diskriminasi? Sama sekali tidak.
“Pemimpin politik perlu bersuara. Kalau mereka kenal agama mereka, mereka ada asas yang kuat untuk menolak semua benda mengarut. Tidak perlu tunggu orang lain,” katanya kepada FMT.
Awal bulan ini, seorang pegawai Jakim Zamihan Mat Zin mengkritik Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana mengecam seorang pengusaha kedai dobi di Muar kerana tidak mahu memberikan perkhidmatan kepada pelanggan bukan Islam.
Dalam satu ceramah di Majis Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam, Zamihan turut membuat kenyataan mengenai kebersihan orang Cina Malaysia.
Tidak lama kemudian beliau ditahan kerana hasutan, dan tauliah beliau untuk mengajar agama dilucutkan Istana Selangor.