Padahal, saya rasa sukar dalam dunia untuk mencari bangsa yang begitu bertoleransi dengan kaum lain seperti bangsa Melayu. Sejak dahulu, di tengah-tengah kampung Melayu di serata negeri-negeri boleh wujud kedai cina berniaga dengan majunya.
Orang melayu tidak memusuhi kaum cina yang berkedai dalam kampung mereka, bahkan mereka memanggil 'taukeh' kepada empunya kedai, satu konotasi yang baik.
Apabila Jepun memasuki Tanah Melayu dan memburu orang Cina, ramai keluarga Melayu melindungi orang Cina dari Jepun.
Apabila orang Melayu memerintah sendiri Tanah Melayu, mereka berpakat dengan kaum lain secara aman. Pelbagai peluang dibuka dan berikan kepada kaum lain sehingga kalangan Melayu sendiri puas hati.
Raja-Raja Melayu
Raja-Raja Melayu walaupun dikaitkan dengan kalimah 'Raja Melayu' dan mereka semua beragama Islam, namun sikap mereka terhadap kaum dan agama lain sentiasa mesra bahkan kadang-kadang merisaukan kaum Melayu itu sendiri.
Suara Raja-Raja Melayu itu selalu harmoni untuk semua. Dalam 7 Amanah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin kepada seluruh rakyat Perlis, Amanah Ketujuh berbunyi : "Pegangan Islam dalam Negeri Perlis hendaklah harmoni untuk semua pihak; tanpa mengira bangsa dan agama."
Islam yang diajar dalam negeri Perlis hendaklah bersifat universal yang kebaikan dan rahmatnya merangkami semua kaum dan agama.
Pendekatan Islam yang diajar kepada anak-anak di sekolah dan rakyat jelata hendaklah bebas dari unsur perkauman dan permusuhan antara rakyat disebabkan perbezaan kaum dan agama semata".
Dalam isu dobi hanya untuk orang Islam, Sultan Johor dengan tegas menolak pendekatan tersebut.
Saya sendiri dititahkan oleh pihak Istana Perlis untuk mengatasi isu tersebut yang juga berlaku di Perlis. Demikian prihatin sultan dan Raja Melayu terhadap hak penganut agama lain.
Isu agama
Dalam isu-isu agama yang kelihatan boleh menimbulkan salah faham penganut agama lain terhadap Islam khususnya tentang hak dan amalan agama mereka yang jamin ruangnya oleh Islam, akan ada tokoh-tokoh agama Islam kalangan orang Melayu yang membela hak agama dan kaum lain.
Kenyataan demi kenyataan sering dikeluarkan bagi menjamin ke arah keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan bangsa. Saya rasa saya juga ada menyumbang ke arah hal itu. Saya mufti yang dilantik oleh raja Melayu.
Parti-parti politik Melayu, sekali ada banyak perkara yang boleh dipertikaikan dalam hal lain, namun soal keharmonian hidup masyarakat majmuk, setiap mereka cuba menjaganya.
PAS pernah membuat slogan muktamar mereka 'Menggempur Pemikiran Asabiyah (kebangsaan)'. Bahkan PAS pernah bekerjasama dengan DAP. Lebih ganjil lagi, semasa memerintah Kedah, PAS langsung tidak mempertikaikan arak di Langkawi. Walaupun hari ini parti itu berubah disebabkan cuaca politik, namun ruang toleransi pernah ada dan 'mungkin' boleh kembali ada.
Read More / Baca Lagi >>