Update Mencari Fastaqim di kertas undi >> Berita Malay 18

Paling kurang empat rantai emas milik penyokong setia PAS dilucutkan dari leher, tangan atau simpanan mereka.
Kini semuanya sudah menjadi milik parti. Tugas besar PAS dalam usaha menghimpunkan seramai mungkin ahli dan penyokong mereka di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus hujung minggu lalu sudah selesai.
Anggaran kehadiran 200,000 dari seluruh tanah air cuba memberi gambaran betapa PAS terbukti kuat dan bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang bakal menjelang.
Lihatlah betapa PAS bertuah kerana memiliki penyokong yang benar-benar istiqamah walaupun dengan perpecahan yang berlaku pada parti itu sebelum ini.
Penyokong parti mana yang sanggup datang dari jauh, membawa seluruh keluarga, mengeluarkan wang dari poket sendiri dan meluangkan masa dan tenaga walaupun berdepan pelbagai kepayahan?
Ada yang datang bersama sanak-saudara, rombongan bas PAS kawasan, sahabat-handai dan malah bersendirian. Pastinya mereka tidak akan merungut, jauh sekali meminta ganjaran dunia atas pengorbanan itu.
Tangan mereka jugalah yang menghulur sumbangan bagi memenuhi keperluan kewangan PAS untuk gerak kerja mereka. Ada yang menyerahkan harta berharga.
Seorang ibu gigih melayan kerenah anak kecil, pada masa sama patuh mengikut jejak suami. Ada juga anak yang setia memimpin ibu atau bapa yang sedikit uzur. Tidak sedikit orang lama yang tidak menunjukkan perasaan lelah, dan anak muda yang penuh semangat melaungkan takbir.
Dan tidak lama lagi, sebahagian mereka inilah yang bakal menterjemahkan prestasi parti itu di peti undi.
Pasti besar harapan mereka sebagai penyokong untuk melihat 'Hijau Menuju Kemenangan' - slogan mutakhir PAS.
Apa nawaitu PAS?
Hasrat itu juga diyakinkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri, betapa mereka mahu bertanding di sebanyak mungkin kerusi.
Jika benar, ia menjadi dimensi baru dalam sejarah perjalanan politik parti itu yang kini hanya berjaya mengekalkan pemerintahan Kelantan sejak tahun 1990. Pemerintahan di Terengganu dan Kedah hanya bertahan sepenggal.

Dengan kerjasama dalam Gagasan Sejahtera yang disertai beberapa parti-parti kecil, serta sokongan padu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendokongnya, barangkali PAS bakal melakar sejarah baru nanti.
Di sebalik situasi sedemikian, mari kita lihat lebih dekat nawaitu PAS mengadakan perhimpunan gergasi itu.
Kehadiran begitu ramai sehingga penuh setiap inci pasir di Pantai Tok Jembal, namun berapa peratuskah di kalangan mereka yang akan memangkah di kertas undi?
Agak sukar menilai kekuatan sebenar PAS menuju PRU ke-14 jika diukur melalui kaca mata Fastaqim 2.0 semata-mata. Jika niatnya semata-mata untuk menunjukkan kekuatan, ya mereka berjaya.
Tetapi rasanya tidak perlulah digembar-gembur akan kemungkinan yang tidak pasti. Ia akhirnya tidak memberi impak besar kepada kekuatan parti secara jelas, malahan mengecewakan.
Gerak kerja Fastaqim kali ini nampak tidak sempurna pada pengakhirannya. Atau mungkin ada kegagalan yang terselindung sehingga memberi hasil yang begitu antiklimaks?
Ketika semua mata pemerhati politik terarah ke Pantai Tok Jembal, hanya dentuman petir yang kuat kedengaran.
Benarlah Malaysiakini melaporkan insiden itu kerana ia kejadian alam, kebetulan pula berlaku di situ. Ia lebih mempunyai nilai berita berbanding percakapan dan khutbah yang berulang-ulang, oleh mana-mana ahli politik sekalipun.
Akhirnya penantian untuk melihat tokoh berwibawa menyertai parti itu hanya tinggal angan dan ingin, berlalu ditiup bayu Kuala Terengganu.
Kalaulah ada Ibrahim Ali
Jadi apakah niat disebalik Fastaqim hanyalah untuk menunjuk kuat dan meraih derma penyokong? Memang penyokonglah tulang belakang kekuatan PAS turun-temurun.
Sejak lama dulu, penyokong mereka adalah yang paling jaguh berhimpun, paling bersemangat. Namun kita harus sedar sesebuah parti tidak akan ke mana jika hanya bersandarkan semangat penyokongnya.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: