Update Parti Komunis China kagumi Umno, jemput ke kongres >> Berita Malay 18

Parti Komunis China (CPC) menjemput wakil Umno untuk menyampaikan ucapan bersempena Kongres Nasionalnya yang ke-19 pada 18 Oktober depan.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, wakil daripada parti Melayu itu akan memberikan ucapan dan maklum balas berkaitan hubungan antarabangsa pada kongres berkenaan.
Katanya, walaupun parti pemerintah China itu mengamalkan sistem satu parti, namun ia bukan bermakna tiada demokrasi dalam pentadbiran mereka dan penghalang untuk kedua-dua negara bertukar pandangan.
“Lihatlah China hari ini apabila menjadi antara negara yang memiliki sistem jaringan pengangkutan tercanggih, komunikasi terkini, industri dalaman yang berkembang dan dalam masa yang sama masih mampu mengekalkan budaya dan tradisi mereka sendiri,” katanya seperti yang dilapor Umno Online.
Tengku Adnan hari ini turut menerima kunjungan Duta Besar Repubkik itu, H.E Dr Huang Huikang di ibu pejabat Umno di Menara Dato Onn Kuala Lumpur.
Dalam pertemuan itu, Huang menzahirkan hubungan akrab antara CPC dan Umno perlu dipertingkatkan dengan melaksanakan pelbagai perancangan bersama.
Katanya, CPC melihat Umno dan BN bukan sekadar rakan tetapi juga sahabat merentasi hubungan politik dengan perkongsian dasar, kebudayaan, ekonomi dan pendidikan.
“CPC mengagumi perjuangan Umno/BN dan amat berbangga dengan adanya hubungan akrab yang terjalin antara kedua-dua parti terutamanya dalam merealisasikan kesatuan dalam kepelbagaian iaitu menjadikan pelbagai etnik yang ada kepada satu keluarga besar dalam masyarakat.
“Masyarakat China sendiri terdiri daripada lebih 50 etnik yang besar dan CPC terus berusaha bagi memastikan setiap etnik bekerjasama dan dapat hidup rukun sebagaimana masyarakarat di Malaysia,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan yang juga setiausaha agung BN turut menerima kunjungan hormat Duta Laos, H.E Houmdaophone Soukhaseum yang melahirkan keyakinan dengan komitmen Umno dalam memperkukuh hubungan antarabangsa.

Subscribe to receive free email updates: