Kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berhubung cadangan menggunakan 100 peratus tenaga pekerja asing dalam sektor pembuatan amat dikesali.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, cadangan yang dikemukakan itu adalah tidak relevan sama sekali dari aspek pembangunan ekonomi dan sosial negara pada hari ini dan mempamerkan sikap acuh tak acuh kerajaan dalam menjaga kebajikan tenaga kerja tempatan.“Saya berpandangan bahawa pertimbangan yang dicadangkan oleh beliau (Nur Jazlan) adalah tidak wajar dan memihak pada pihak berkepentingan.
“Ia juga jelas bertentangan dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot pada sidang Parlimen awal tahun ini, di mana beliau menyatakan bahawa kerajaan mensasarkan penggajian pekerja asing yang tidak melebihi 15 peratus dari tenaga kerja negara, sebagaimana yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, berdasarkan statistik yang dikemukakan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Unit Perancangan Ekonomi untuk tahun 2015, hanya 2.1 juta daripada kira-kira 6.7 juta pekerja asing berada di Malaysia mempunyai permit pekerjaan yang sah.
Katanya, ternyata, bilangan pekerja asing di Malaysia jauh tersasar daripada matlamat yang dicanang pihak kerajaan, apabila 32.2 peratus daripada tenaga kerja sedia ada terdiri daripada warga asing.
“Alasan kekurangan tenaga kerja yang sering dibangkitkan oleh pihak kerajaan juga adalah tidak munasabah, apabila isu peluang pekerjaan diperhalusi di peringkat nasional. Perbandingan produktiviti antara pekerja tempatan dan asing turut meragukan dan dijadikan mainan semata-mata untuk menjana pulangan tinggi tanpa mengambil kira taraf kehidupan dan usaha pekerja tempatan yang berterusan.
“Daripada mempertimbangkan kebanjiran tenaga kerja asing sebagai alternatif membantu industri pembuatan, adalah lebih baik jika kerajaan dapat mengkaji semula sistem sedia ada. Kelewatan dan kekurangan penekanan terhadap peningkatan teknologi menghalang penggajian berpatutan buat golongan pekerja, terutamanya rakyat Malaysia,” katanya.
Read More / Baca Lagi >>