Perhimpunan besar-besaran ahli dan penyokong PAS yang diberi nama “Fastaqim 2.0” di Kuala Nerus, Terengganu hujung minggu lalu menampilkan kesediaan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-14 selaku blok ketiga bernama Gagasan Sejahtera.
Gagasan Sehjahtera ditunjukkan sebagai gabungan 4 parti iaitu PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Cinta Malaysia (PCM). Hanya PAS merupakan parti besar yang mampu bertanding dan memenangi kerusi dalam pilihan raya akan datang.
Dinyatakan bahawa PAS berharapkan tsunami hijau akan berlaku. Maksud tsunami hijau ialah peningkatan undi yang besar bagi PAS yang membolehkan parti itu memenangi banyak kerusi. Ia adalah sebagai jawapan kepada andaian akan berlaku tsunami Melayu yang diharapkan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Dengan itu, dalam sejarah politik mutakhir Malaysia, kini ada 4 istilah tsunami. Pertama, ialah tsunami politik yang pernah disebut oleh arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, apabila pembangkang berjaya menafikan majoriti 2/3 BN dengan menawan 5 negeri pada pilihan raya ke-12. Akibatnya ditubuhkan Pakatan Rakyat dianggotai PKR, PAS dan DAP.
Istilah tsunami politik itu kemudian dikaitkan dengan kaum. Apabila Pakatan Rakyat dapat mengekalkan kedudukannya dari segi menafikan majoriti 2/3 BN dalam pilihan raya umum ke-13, maka ia disebut oleh penganalisis sebagai tsunami Cina kerana undi kaum itu dengan kuat menolak BN khususnya MCA dan Gerakan.
Kini dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14, timbul istilah tsunami Melayu dengan andaian bahawa banyak orang menolak Umno.
Dari segi penggunaan istilah kaum terhadap tsunami, boleh disebut pada pilihan raya tahun 2008 itu, ia juga merupakan tsunami India. Ini kerana orang India umumnya menolak MIC hingga turut menumbangkan presidennya, dan seterusnya menyumbang kepada kejayaan Barisan Alternatif dan DAP.
Kini giliran Melayu?
Perlu diingat, gerakan menolak MIC dan BN dipertegaskan melalui gerakan Badan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) yang mengadakan perhimpunan besar setahun sebelum pilihan raya itu.
Jadi pilihan raya umum ke-12 terdapat elemen tsunami India dan pilihan raya umum ke-13 adalah tsunami Cina. Maka banyak pihak menjangkakan akan berlaku tsunami Melayu bagi pilihan raya umum ke-14 ini.
Itulah yang diharapkan oleh PH khususnya parti Melayu di dalamnya iaitu PKR, Amanah dan PPBM.
Tetapi bagi PAS, ia mengharapkan bukan semata-mata tsunami Melayu, tetapi tsunami hijau. Hijau di sini bermaksud Islam menurut pemahaman PAS. Walaupun Islam itu satu dan fahaman orang Melayu terhadap agama adalah serupa, iaitu dari segi mazhab yang dipegang sama tidak kira seseorang itu penyokong PAS, PKR, Amanah, PPBM atau Umno. Sungguhpun begitu, terdapat perbezaan dari segi pendekatan.
Ada istilah untuk merujuk pendekatan berbeza ini. Antaranya ialah konservatif, demokrat, progresif, nasionalis dan sekular. Tetapi ia kurang tepat untuk digunakan.
Islam yang berbeza
Bagi memudahkan perbincangan, wajar juga untuk merujuknya dengan mengatakan ia adalah menurut pendekatan Islam yang dipegang oleh pemimpin parti berkenaan.
Umpamanya pendekatan Islam menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau gemar memanggil dirinya Muslim demokrat. Atau Islam Dr Mahathir Mohamad. Fahamannya tergambar dalam ucapan beliau mengenai agama.
Read More / Baca Lagi >>