Pemuda AMANAH Melaka menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz semalam sebagai gambaran watak yang sama modus operandinya dengan Umno.
Ketuanya, Muhammad Syafiq Azmi berpendapat kenyataan ‘masuk air’ yang sengaja daripada Ahli Parlimen Pasir Mas itu mungkin untuk menutup kelemahan kejutan terhadap penganjuran himpunan Fastaqim 2.0 yang tidak menjadi.
“Kenapa saya anggap dia sengaja? Sebab pernahkah kita membaca kenyataan beliau yang rasional sebelum ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ahmad Maslan beberapa tahun lalu kerap dicemuh majoriti rakyat ekoran kenyataanya yang dianggap bodoh terutama menjelang pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015.
Sementara itu, Nik Abduh dalam tulisannya bertajuk, ‘PAN Yang Malang’ menggunakan pelbagai perlambangan antaranya “van mayat DAP” dan “anak butir taik Tun Mahathir.”
Panggilan PAN dalam reaksi Nik Abduh itu merujuk kepada AMANAH yang lazim digunakan secara konsisten oleh pemimpin dan penyokong Pas.
Mengulas lanjut, Syafiq berkata, tidak pelik apabila Nik Abduh bertindak mengeluarkan kenyataan tersebut lantaran dilihat sekadar mengalihkan isu berhubung surat Datuk Mustafa Ali yang merupakan Penasihat kepada Presiden Pas.
Surat kontroversi daripada bekas Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas yang juga dikenali sebagai Cikgu Pa itu dikatakan mengenai bantahan kerjasama Pas dengan Umno.
“Mengalihkan isu surat Cikgu Pa mungkin juga antara sebab mengapa Nik Abduh menadah diri untuk dilihat bertindak tanpa kewarasan.
“Samalah ketika isu hangat melanda kem BN, cuma ketika itu mangsanya bukan manusia, tetapi durian,” bidas Syafiq lagi.
Pada 26 September lalu, Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa memberitahu surat Mustafa itu telah dibincangkan dalam satu mesyuarat permukiman (retreat) Pas Pusat di Pulau Pangkor, Perak.
“Dalam retreat ini, Ustaz Hadi tak dan (sempat) retreat. Dia masuk sehari, dia balik. Saya jangkakan surat ini akan terdedah juga kepada ahli Pas.