Kembalinya Zakaria Arshad sebagai Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures atau FGV setelah digantung jawatan selama empat bulan, dengan sendirinya memberi erti kedudukan Lembaga Pengarah syarikat itu langsung tidak dihormati.
Berdasarkan kenyataan FGV semalam, Zakaria dikembalikan ke jawatan asalnya bermula 16 Oktober ini, jika difahami adalah semata-mata atas keputusan Kementerian Kewangan yang merupakan pemegang saham khas FGV. Menteri Kewangan ialah Najib Razak.
Zakaria sebelum ini digantung jawatannya oleh Lembaga Pengarah FGV yang ketika itu dipengerusikan oleh Isa Samad untuk menyiasat dakwaan penyelewengan dan perlanggaran prosedur tertentu melibatkannya dalam urusniaga antara Delima Oil, anak syarikat FGV dengan Safitex, sebuah syarikat berpangkalan di Afghanistan.
Berikutan penggantungan itu, Zakaria kemudian dihadapkan kepada Jawatankuasa Audit Dalaman di mana difahamkan terdapat lima pertuduhan dikenakan kepadanya.
Sebaik digantung, sebagai tindak balasnya, Zakaria segera membuat laporan kepada SPRM berkaitan dakwaan rasuah dan penyelewengan melibatkan Isa. Beliau juga mengumumkan tidak mungkin dapat bekerjasama lagi dengan Isa dalam FGV.
Dalam langkah segera untuk meredakan keadaan, sementara Zakaria digantung jawatan, Najib kemudian memindahkan Isa daripada FGV ke SPAD atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dengan sementara ini diberikan jawatan Pemangku Pengerusi.
Tempat Isa di FGV selepas itu dipangku sementara oleh Sulaiman Mahbob dan 8 September lalu diisi oleh Azhar Abdul Hamid.
Isa juga kemudian disiasat dan direman selama lima hari oleh SPRM berhubung pembelian hotel di London dan Sarawak.
Bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada Isa akan didakwa dalam waktu terdekat ini atau dilepaskan begitu saja.
Dalam siasatan audit dalaman terhadap Zakaria, difahamkan beliau didapati bersalah lebih tiga daripada lima pertuduhan yang dikenakan kepadanya.
Dalam kenyataan oleh FGV semalam, ia memaklumkan hasil dapatan siasatan dalaman itu sudah pun dihantar kepada Kementerian Kewangan (Diperbadankan).