Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, cadangan itu bagi membolehkan tindakan undang-undang lebih ketat dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan keharmonian kaum dan menyentuh sensitiviti agama.
Menurutnya, tindakan itu boleh menghuru-harakan negara sekiranya tidak dibendung dengan serius.
"Secara asasnya, RUU ini untuk menjaga keharmonian nasional, jadi sesiapa rakyat yang menimbulkan kebencian agama atau kaum, sama ada melalui kata-kata atau perbuatan dengan secara sengaja sehingga menyebabkan kebencian kaum, serta rosak tempat-tempat tertentu seperti rumah ibadat, boleh didakwa di bawahnya." katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga Pengerusi Amanah Pulau Pinang berkata, sekiranya akta ini tidak diwujudkan, isu melibatkan perkauman dan agama akan meruncing, sekali gus mencetuskan rusuhan perkauman sebagaimana berlaku pada 13 Mei 1969.
Katanya, pihaknya juga sudah memenuhi syarat-syarat persidangan Dewan Parlimen yang perlu membawa draf RUU Persendirian itu diserahkan kepada Setiausaha Dewan Parlimen untuk dipertimbangkan Speaker Dewan Parlimen pada tempoh 14 hari sebelum dewan bersidang.
"RUU ini perlu diteliti bagi mengekalkan keharmonian nasional, seterusnya menjadi benteng dan langkah pencegahan kepada rakyat Malaysia yang suka gunakan isu kaum dan agama untuk yalakan api kebencian.
"Ia juga untuk pastikan pendakwaan telus dan ketat berbanding pendakwaan di bawah Akta Hasutan dan Akta Kanun Jenayah, selain memastikan ia mengkaji kesan huru-hara disebabsebarang perbuatan meniupkan api kebencian perkauman dan keagamaan," katanya.