Teng Chang Khim berkata, beliau cuba mengelakkan pembangkang membuang masa DUN Selangor dengan membangkitkan soal pengurusan ketika sesi perbahasan sepatutnya menjurus kepada pembangunan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan negeri itu mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan mencelah soalan ditanya Adun Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan mengenai kenderaan terbiar di kawasannya dalam sesi perbahasan urusan pembangunan.
“Bodoh, susah nak kata!” kata Teng ketika persidangan mula gamat dengan wakil rakyat kerajaan dan BN mula bertelagah sesama sendiri.
Susulan itu, Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) bangkit menggesa Teng menarik balik kenyataannya yang disokong beberapa wakil rakyat BN.
Antara yang bangkit membidas Teng ialah Adun Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus dan Adun Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.
Teng bagaimanapun enggan menarik balik kenyataan itu walaupun diarahkan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh, sebaliknya beliau menegaskan kenyataan itu tidak merujuk sesiapa.
“Saya tidak kata siapa-siapa,” kata Teng yang juga adun Sungai Pinang.
Dalam kekecohan itu, Adun Kampung Tunku, Lau Weng San cuba meredakan keadaan.
“Hari ini hari Jumaat, bertenang semua,” katanya.
Kekecohan berhenti apabila Yeoh menangguhkan sidang pada 12 tengah hari.
Dalam sidang media di luar Dewan, Halimaton menyuarakan kekecewaan terhadap Teng yang mencelah sebelum beliau habis bertanya soalan.
“Kita diberi ruang dan peluang berhujah. Saya ada pandangan saya. Tak habis cakap baru nak mula mukadimah dah dibangkitkan (dicelah),” katanya.
Dalam sidang media berasingan, Teng berkata, beliau cuba mengelakkan pembangkang membuang masa DUN Selangor dengan membangkitkan soal pengurusan ketika sesi perbahasan sepatutnya menjurus kepada pembangunan.
“Tujuan saya menegur mereka adalah supaya kita tidak buang masa. Sekiranya 10 tahun jadi pembangkang masih tidak faham peraturan mesyuarat, maka mereka juga gagal sebagai pembangkang dan tidak layak jadi adun,” kata bekas speaker DUN Selangor itu.