Bajet 2018 yang dibentangkan perdana menteri di Dewan Rakyat 27 Okt lalu bukan sahaja sarat dengan pelbagai pemberian sekaligus (one off) untuk menarik sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum (PRU) malah mempunyai ‘kelompangan besar’ apabila kerajaan BN gagal menunjukkan kaedah bagaimana mengimbangkan perbelanjaan dengan pendapatan.
“Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa bahawa beliau telah mengumumkan ‘ibu segala bajet’.
“Pelbagai janji telah ditabur dalam usaha yang tidak berselindung untuk memperdaya rakyat untuk menyokong BN pada PRU akan datang.
“Tetapi ada kelompangan cukup besar di dalam bajet prapilihan raya ini; ia gagal menunjukkan bagaimana kerajaan akan mengimbangkan perbelanjaan dengan pendapatan,” ujarnya.
Anwar mempersoalkan bagaimana kerajaan BN akan menepati janji-janji dalam bajet itu walhal ia belum menunjukkan bagaimana pendapatan kerajaan akan ditambah malah tidak langsung ditunjukkan dalam mana-mana bahagian bajet ini.
Sehubungan itu beliau yakin cukai-cukai baru atau peningkatan dan perluasan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas rakyat jika BN terus memerintah negara selepas PRU ke-14 akan datang.
“Sekiranya BN memenangi PRU akan datang, saya yakin mereka akan segera mengumumkan cukai-cukai baru atau peningkatan cukai GST.
“Rakyatlah yang akan menderita dan yang akan menanggung beban ini untuk membolehkan BN melaksana segala janji yang dibuat di dalam bajet ini,” katanya.