Update JAS PAHANG KELUAR NOTIS HENTI PEMBALAKAN >> Berita Malay 18


Hutan Simpan Merapoh kini makin parah?


Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengeluarkan notis arahan bagi menghentikan kerja-kerja pembalakan di Mukim Batu Yon, Merapoh, Kuala Lipis dekat sini.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata, notis itu dikeluarkan pada 15 November lalu kepada sebuah syarikat swasta yang mendapat kelulusan daripada pemilik tanah untuk melakukan kerja pembalakan itu.

"Kami memberi tempoh selama dua minggu untuk syarikat itu menghentikan kerja tersebut dan memulakan proses pemulihan ke atas tanah berkenaan.

“Bagaimanapun, kami tidak menerima sebarang jawapan daripada syarikat itu dan akan melakukan tindakan susulan pada minggu ini," katanya semasa dihubungi di sini, semalam.

Rosli menambah pegawainya juga akan terus memantau dan meninjau keadaan hutan itu bagi memastikan tiada pencemaran atau aktiviti pembalakan diteruskan.

Isu pembalakan di Merapoh menjadi topik utama sejak hujung bulan lalu selepas Pengasas Pertubuhan Save Merapoh Cave Mohd Laili Basir mendakwa aktiviti itu menjejaskan khazanah alam dan mencemarkan sungai yang menjadi punca air kepada 10,000 orang dari lapan kampung di situ.

Mohd Laili mendakwa hutan yang bersempadan dengan Kelantan itu juga terkenal dengan ekopelancongan kerana terdapat Gua Hari Malaysia, iaitu gua batu kapur kedua tercantik di Malaysia yang dianggarkan berusia antara 230 hingga 350 juta tahun.

Kempen yang dijalankan Mohd Laili bukan sahaja mendapat perhatian Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM), tetapi juga mendapat solidariti masyarakat antarabangsa di laman sosial dengan menggunakan tanda pagar #savemerapoh.

Jabatan Perhutanan Pahang pula dalam reaksinya pula mengesahkan bahawa pembalakan itu tidak melibatkan hutan simpan Merapoh, sebaliknya berlaku di tanah milik syarikat kemajuan pertanian.


Subscribe to receive free email updates: