Perdana menteri berkata, berbeza dengan negara lain yang meminta pinjaman kewangan daripada AS, Malaysia sebaliknya menawarkan pelaburan syarikat tempatan di AS.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, pertemuannya dengan Donald Trump September lalu membuktikan Malaysia tidak mengemis dengan kuasa besar dunia itu.
Perdana menteri berkata, berbeza dengan negara lain yang meminta pinjaman kewangan daripada AS, Malaysia sebaliknya menawarkan pelaburan syarikat tempatan di AS.
“Saya dituduh jumpa Trump bawa duit berbakul-bakul sebab itu Trump hantar saya ke kereta. Mana saya bawa duit berbakul-bakul…gila ke.
“Saya pergi ke AS nak tunjuk kepada Trump kita bukan datang minta sedekah dengan AS, kita datang sebagai negara berjaya sehingga kita boleh melabur…negara lain datang minta pinjaman,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Media Sosial Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
Dalam pertemuannya bersama Trump, Najib dilaporkan berkata, Khazanah Nasional merancang meningkatkan pelaburan mereka di AS dan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi negara itu.
Daripada lawatan itu, Kumpulan Wang Simpana Pekerja (KWSP) sahaja dijangka melabur AS$3 bilion dan AS$4 bilion di sana.
Najib berkata, dasar pelaburan di luar negara dibuat sebelum zaman pemerintahannya kerana ia membawa keuntungan lebih banyak.
“Dasar melabur di luar negara telah dibuat sebelum saya jadi perdana menteri dari pertengahan 2000.
“(Melabur di luar negara) keuntungan kita 11.1%, melabur di dalam negara 7% lebih. Mana lebih untung? Kita labur di AS, Eropah, China dan pasaran lain. Bila untung kita bawa balik keuntungan kita tambah dividen untuk rakyat.
“KWSP ada dana RM780 bilion, takkan semua nak labur dalam negara? Kalau jatuh saham KLSC (Bursa Saham Kuala Lumpur) siapa akan rugi, rakyat akan rugi. Jadi, kita ada dasar pelbagaikan sumber dan sasaran kita.
“Ada (pelaburan) di AS dan ada di negara lain jadi kalau satu pasaran jatuh yang lain naik, (pasaran) yang lain boleh beri pulangan. Sebab itu pulangan KWSP berada di tahap memberangsangkan.”
Beliau turut mengulangi kenyataan Malaysia tidak membayar sesen untuk menemui Trump di White House, September lalu.
“Jangan tipu rakyat…saya jumpa Trump tidak bayar perunding. Zaman dia dulu bayar tidak jawab pun, senyap tak jawab,” katanya dipercayai merujuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada 16 September lalu, Najib dilaporkan berkata, Dr Mahathir pernah membayar RM7 juta untuk melobi dan menemui Presiden AS ketika itu, George W Bush melalui seorang pelobi yang bermaustatin di Hong Kong.
Read More / Baca Lagi >>