Update Kakitangan akademik gesa UM tarik balik larangan >> Berita Malay 18


Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) hari ini menggesa pihak universiti menarik balik “peringatan” yang melarang pelajar membuat kenyataan umum.
Dalam satu kenyataan, Presiden PKAUM Azmi Sharom berkata peringatan yang “menjijikkan dan tidak sensitif” itu menunjukkan pihak pengurusan universiti tidak memahami salah satu tujuan pendidikan adalah untuk memupuk pemikiran kritis terhadap masyarakat, kerajaan serta universiti sendiri.
“Jika pendidik dan pelajar perlu patuh kepada 'peringatan' ini, kita tidak boleh malakukan dan menyebarkan apa-apa jenis kajian yang melibatkan kerajaan.
“Sains sosial, ekonomi, perniagaan, undang-undang, kesihatan awam, kejuruteraan selain jabatan-jabatan lain seumpamanya terlibat dengan tugas yang memerlukan kajian kritis terhadap dasar dan keputusan kerajaan.
“Perkataan 'peringatan' (reminder) dengan jelas melarang kita bercakap dengan orang awam. Namun kita mempunyai tanggungjawab menyebarkan kajian, pemikiran dan idea ke orang ramai, supaya kita tidak terpisah daripada masyarakat sekeliling.
“Jika benar, bererti kita akan betul-betul hidup di dalam botol kaca yang tidak mempunyi apa-apa nilai kepada masyarakat,” katanya.
Azmi berkata ayat yang digunakan dalam notis peringatan itu cukup kabur yang mungkin turut ditujukan kepada penerbitan dan pembentangan akademik malah mungkin juga kuliah biasa.
“Notis 'peringatan' ini yang dikeluarkan Unit Integriti adalah satu penghinaan kepada kebebasan akademik; ia menghalang kita daripada melakukan tugas; ia melanggar kebebasan berekspresi (yang dijamin Perlembagaan Persekutuan) dan akan pergi jauh lagi sehingga menyebabkan univeristi kita tidak layak menggunakan namanya,” tambahnya.
Azmi menggesa pejabat Naib Canselor UM menarik balik peringatan itu secepat mungkin dan mengkaji semula penggunaan Akta Universiti dan Kolej Universiti selain Akta Badan Berkanun Tatatertib dan Surcaj, “yang menindas pelajar dan kakitangan akademik.”
“Orang ramai tahu percanggahan pendapat tidak memudaratkan malah ia adalah inisiatif yang sihat dan demokratik. Sudah sampai masanya orang atasan turut menyedari hal ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan notis peringatan itu melarang kakitangan dan pelajar membuat sebarang kenyataan awam yang dilihat sebagai memberi “kesan negatif” kepada universiti atau kerajaan.

Subscribe to receive free email updates: