Update KUANTAN MASIH BELUM BERSEDIA JADI BANDAR RAYA >> Berita Malay 18


Adnan Yaakob


Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob mengesahkan bandar Kuantan masih belum bersedia untuk bergelar bandar raya.

Menurutnya,walaupun bandar itu sudah memenuhi kriteria yang ditetapkan namun beberapa impaknya yang akan dihadapi penduduk perlu difikirkan.

"Apabila Kuantan menjadi bandaraya, kadar cukai taksiran juga akan naik dan selaku kerajaan negeri, buat masa ini kita putuskan bahawa Kuantan kekal sebagai bandar.

"Sebenarnya, Kuantan sudah memenuhi syarat seperti yang ditetapkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Andansura Rabu (Pas-Beserah) iaitu kajian perlu dilakukan jika Kuantan dijadikan bandaraya terutama kesannya terhadap penduduk berikutan kenaikan kos sara hidup.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail (BN-Jelai) berkata, antara kriteria untuk menjadi sebuah bandaraya adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu meliputi kawasan pentadbiran sesebuah negeri.

Menurutnya, bandar tersebut perlu mempunyai penduduk tidak kurang daripada 500,000 orang serta mempunyai pendapatan dari sumber kewangan dengan hasil tahun tidak kurang RM100 juta serta mampu mengimbangkan perbelanjaan.

"Berupaya menyediakan perkhidmatan pada tahap tinggi termasuk kutipan hasil, kelulusan pemaju pembangunan, penguatkuasaan dan mempunyai struktur organisasi yang mantap," katanya menjawab soalan Dato' Fong Koong Fuee (BN-Cheka) ingin tahu sama ada Kuantan sudah memenuhi kriteria penarafan sebuah bandaraya.


Subscribe to receive free email updates: