Update [KUANTAN] PERKASA PERANAN MCPF NEGERI >> Berita Malay 18


Perkasa peranan MCPF negeri


Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pahang kini mempunyai pengerusi bagi peringkat daerah dalam usaha memperkasakan lagi peranan yayasan itu dalam membantu pihak berkuasa memerangi jenayah dan masalah dadah di negeri ini.

Pahang menjadi negeri kelapan mempunyai pengerusi MCPF daerah selepas Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Sabah, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pemilihan pengerusi daerah dipilih dalam kalangan ahli yang berkelayakkan dan mampu memainkan peranan dalam merancang serta melaksanakan program seiiring dengan matlamat yayasan itu.

Menurutnya, pemilihan pengerusi daerah ini dilakukan melalui saringan dengan memgambil kira rekod bersih, kemampuan, dan integriti.

“Mereka yang dipilih dan dilantik ini akan berkerjasama dengan polis daerah melalui Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) dalam mengatur gerak aktiviti dirancang.

“Pelantikkan pengerusi MCPF daerah ini seiring dengan usaha MCPF untuk menggerakkan kelab pencegahan jenayah yang kini memiliki 6,000 kelab seluruh negara termasuk di sekolah dan institut pengajian tinggi,” katanya.

Lam Thye berkata, bagi memantapkan MCPF daerah, pengerusi akan melantik 10 ahli jawatankuasanya.

“Kita harap pengerusi MPCF daerah dapat memainkan peranan dalam membentuk jalinan kerjasama masyarakat dan agensi keselamatan seperti polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK) dan sebagainya dengan fokus kepada masalah jenayah dan dadah dalam kalangan pelajar yang membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, pengerusi MCPF daerah juga perlu membantu dan menyokong penuh usaha Pengerusi MCPF Pahang, Dato' Sri Johnny Ch’ng yang cemerlang kepimpinannya dalam menerajui yayasan itu sejak beberapa penggal lalu.

“Beliau mempunyai hubungan baik dengan pelbagai pihak terutamanya polis dan agensi keselamatan dan penguatkuasa di negeri ini dalam merancanakan kerjasama untuk mencapai objektif MCPF,” katanya.

Sementara itu, Johhny Ch’ng berkata, beliau menghargai kerjasama dan sokongan agensi kerajaan termasuk termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Kastam dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kepada MCPF Pahang selama ini.

“Melalui kerjasama itu, MCPF Pahang menjadi antara yang paling aktif dalam mengatur aktiviti bagi menyahut hasrat kepimpinan yayasan ini.

“Sebagai pengerusi Exco Projek Khas MCPF Pusat, saya cukup bangga apabila berjaya merealisasikan penubuhan kelab pencegahan jenayah di peringkat sekolah dan Villa Sas di Jalan Teluk Sisek di sini diwujudkan sebagai pusat sehenti program ini.

“Selain kem motivasi, pusat ini juga turut mengadakan program kelas tuisyen percuma untuk pelajar dari keluarga kurang berkemampuan,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: