Update Lebih RM217 bilion hutang dijamin kerajaan yang bakal dibayar dengan wang rakyat. >> Berita Malay 18

Hutang berkenaan adalah daripada 4 badan berkanun dan 26 anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan.
najib_economy_malaysia_600KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan menjamin sejumlah RM217.37 bilion hutang sehingga 30 Jun 2017.
Katanya, hutang berkenaan daripada 4 badan berkanun dan 26 anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
“Tujuan jaminan kerajaan diberikan adalah untuk melaksanakan projek strategik negara yang berimpak tinggi.
“Projek berkenaan adalah bagi memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan yang terbahagi kepada sektor pendidikan, perkhidmatan, infrastruktur, kewangan, pegangan pelaburan dan utiliti,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) yang meminta menteri kewangan menyatakan jumlah tanggungan “contingency liability” oleh kerajaan.
Sementara itu, Najib berkata hutang kerajaan persekutuan sehingga hujung Jun 2017 adalah RM685.1 bilion.
Katanya, jumlah itu 50.9% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) yang bertanyakan jumlah hutang negara terkini dan nisbahnya kepada KDNK negara.
Fauzi juga meminta jawapan berkenaan jumlah hutang dan kali terakhir Malaysia membayar hutang pokok.
“Sementara 3.3% atau RM22.7 bilion lagi adalah hutang luar pesisir (1.7% daripada KDNK).
“Kedudukan hutang kerajaan persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana,” kata Najib.
Tambahnya lagi, bagi 2017, pinjaman kasar kerajaan adalah RM108 bilion dengan bayaran balik pokok adalah RM67.2 bilion manakala pinjaman bagi membiayai defisit adalah RM39.9 bilion.
Najib turut menegaskan, kerajaan sentiasa memastikan bayaran pokok dan faedah sentiasa dibuat dalam keadaan teratur berdasarkan jadual pembayaran.
“Sehingga kini kerajaan tidak pernah gagal dalam membuat bayaran balik mengikut jadual yang ditetapkan,” kata Najib lagi.

Subscribe to receive free email updates: