Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Gambar atas) berkata, Datuk Seri Ahmad Razif perlu menyatakan jumlah sebenar wang kerajaan negeri Terengganu yang telah dibayar kepada syarikat pembekal tersebut bagi pengetahuan rakyat Negeri Terengganu.
“Ini kerana telah beberapa kali janji yang ditaburi oleh pihak kerajaan kepada seluruh rakyat negeri Terengganu bahawa bas dua alam ini akan tiba di Negeri Terengganu pada 2015 namun hingga kini bas tersebut tidak kunjung tiba,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Syed Azman lagi, mengapa pada November Ahmad Razif membuat keputusan untuk memberi kata dua kepada pihak pembekal bas amphicoach.
“Malahan menteri besar sendiri telah membuat kenyataan terbuka pada Mac lalu bahawa bas tersebut akan tiba pada Jun 2017.
“Apakah hal ini sesuatu yang boleh dianggap remeh walhal kos pembelian seunit bas mencecah RM3juta sebuah yang mana kos tersebut melibatkan penggunaan wang rakyat?”,soalnya.
Kata Syed Azman lagi, urusan pembelian bas amphicoach ini telah diselenggarakan melalui Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan & Kebudayaan Negeri Terengganu.
Malah katanya, pihak kerajaan negeri juga telah mengadakan lawatan ke kilang bas yang dihasilkan di Malta itu pada tahun 2014.
Manakala kos pembelian berdasarkan harga kilang setiap sebuah bas itu menelan belanja kira-kira 600,000 euro atau kira-kira RM3 juta sebuah.
“Dalam satu kenyataan pada 18 Mei 2015, Datuk Mohd Jidin Shafee memberi jaminan bahawa kenderaan bas amfibia (amphicoach) yang telah ditempah pada tahun 2014 bagi kegunaan pelancongan selain membantu menyelamatkan mangsa banjir dijangka diterima akhir Ogos 2015.
“Begitu juga dengan jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh pihak exco kerajaan negeri setiap kali hal ini ditimbulkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri.
“Perinciannya bersifat ‘kabur’ dan tidak dapat menjelaskan kedudukan sebenar status bas yang telah dibeli pada tahun 2014 itu hingga kini,” terangnya.
Pembelian bas amphicoach ini diilhamkan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang mahu bas ini digunakan untuk membawa pelancong ke beberapa tempat menarik sekitar bandar sebelum menyusuri Sungai Terengganu selain untuk menghadapi musim tengkujuh ia boleh digunakan untuk memindahkan penduduk terjejas banjir di kawasan yang tidak berarus deras ke tempat yang lebih selamat.
Read More / Baca Lagi >>