Update [ROMPIN] BUKAN TIKET SELESA WARISI PERNIAGAAN BAPA >> Berita Malay 18


Bukan tiket selesa warisi perniagaan bapa


Biarpun mewarisi perniagaan sate yang diusahakan bapanya sejak 20 tahun lalu di Bandar Kuala Rompin, itu bukan bonus baginya untuk meraih hati pelanggan.

Mula membantu membuat sate sejak dari sekolah menengah, kemahiran mengasingkan daging ayam dengan tulang, memerap, membuat kuah hingga membakar bukanlah suatu yang mudah.

Mengakui menempuh kesukaran pada peringkat awal mengambil alih perniagaan sate bapanya, Muhammad Nazir Mudzaffar, 32, tetap berusaha memenangi hati pelanggan baru dan lama.

Anak kelima daripada sembilan beradik itu sama sekali tidak putus asa sebaliknya nekad menghasilkan sate setanding keenakan hasil tangan bapanya.

“Saya ambil alih perniagaan ini tahun 2006 dan kekal hingga sekarang, pada mulanya jualan agak perlahan dalam 400 hingga 500 cucuk semalam, mungkin ketika itu pelanggan tak yakin dengan saya berbanding ayah.

“Saya tetap teruskan walaupun ada masa memerlukan bantuan kewangan daripada ayah, tapi sekarang dah bertambah baik cecah 1000 cucuk semalam,” katanya.

Walaupun pernah merantau ke Kuala Lumpur selepas tamat peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) pada 2002, namun rezeki di kota tidak panjang sebelum pulang ke kampung membantu bapanya sepenuh masa dan tidak menyesal dengan keputusannya itu.

Tidak mahu kekal dengan perniagaan sedia ada dan memasang cita-cita yang tinggi, bapa kepada dua cahaya mata itu mahu menjadi pembekal sate sejuk beku.

Namun atas kekangan kewangan bagi menyediakan bengkel untuk tujuan pemprosesan, cita-citanya itu tertangguh hingga kini.

“Sebelum ini saya dah pernah buat, siap dengan pembungkusan dan sertai dua kali program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bagi mempamerkan sate yang saya hasilkan.

“Tapi atas beberapa kekangan seperti tiada tempat sesuai untuk dijadikan bengkel dan modal tidak mencukupi, projek saya ini tertangguh hingga sekarang,” katanya.

Sebagai sumber pendapatan utama, beliau kini terus menjalankan perniagaan di gerai Selera Mudza Sate seperti biasa yang bermula jam 6 petang hingga 12 malam.

Jika ada yang mahu hidangan sate untuk majlis, beliau juga bersedia menerima tempahan termasuk dalam kuantiti yang besar.

“Adat berniaga ada masa laris ada masa perlahan, kadang-kadang dalam jam 9 malam semua sudah habis, sebab itu ada pelanggan yang datang awal atau ambil nombor telefon untuk buat tempahan,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: