Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan sempena musim cuti sekolah, musim Perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baru 2018. Menurut Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya, aktiviti penguatkuasaan 24 jam bersepadu berkenaan akan dijalankan dengan kerjasama PDRM, JPJ, AADK dan Pihak Penguatkuasa Lebuhraya akan dijalankan bermula dari 23 sehingga 26 November 2017 selama empat hari dan operasi Perayaan Krismas serta Tahun Baru 2018 yang akan dilaksanakan bermula pada 22 Disember 2017 sehingga 2 Januari 2018.
Operasi yang dilakukan oleh SPAD ini adalah operasi yang berterusan dilakukan sepanjang tahun dan tidak terhad hanya pada musim perayaan dan cuti umum sahaja. Operasi seperti itu dilakukan dari semasa ke semasa dan lokasi yang dipilih adalah secara rambang seluruh Semenanjung Malaysia. Bulan ini sahaja pada 20/11/2017, SPAD telah mengesan 13 kes pelanggaran undang-undang dalam operasi bersepadu melibatkan kenderaan seperti bas dan lori di Tol Skudai Arah Selatan.
Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata daripada jumlah kenderaan yang diperiksa itu, sebanyak tiga kes melibatkan lori manakala 10 kes lagi membabitkan bas dan kereta bagi pelbagai kesalahan yang dikenalpasti. Sebanyak 10 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kenderaan lebih muatan, membawa muatan tidak dibenarkan dan gagal menunjukkan lesen.
Manakala pada 12/11/2017 pula, SPAD telah mengadakan Operasi Serkap di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu. Sembilan pegawai SPAD terbabit dalam operasi dua hari bagi memastikan pemandu bas mematuhi peraturan, termasuk mengawal had kelajuan dan mengikut laluan operasi ditetapkan.