Jawatankuasa Keselamatan Negeri patut terus diaktifkan ketika bencana berlaku.
Presiden PPK, Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata kerajaan negeri tidak perlu menunggu kebenaran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi untuk mendapatkan bantuan tentera.
“Kita ada SOP Majlis Keselamatan Negara yang sangat jelas dan boleh diguna pakai semua negeri. Apabila bencana berlaku, Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) patut terus diaktifkan.
“Dalam perkara ini, Kementerian Pertahanan tidak mempunyai kuasa pemerintahan atas pasukan tentera. Pasukan tentera bawah kuasa pemerintahan panglima tentera darat (Datuk Seri Jeneral Zulkiple Kassim).
“Lim Guan Eng (ketua menteri) mungkin tidak diberi taklimat atau tiada komander tentera menasihatinya,” kata Arshad pada pemberita pada sidang media hari ini.
Lim menghubungi Zahid pada 3.00 pagi semalam meminta bantuan untuk kerja-kerja bantuan banjir, dan Zahid bersetuju menghantar bantuan.
Arshad berkata sepatutnya ada seorang komander tentera mewakili JKKN membantu Lim dalam situasi seperti itu.
“Saya pernah menjadi komander tentera, saya tahu proses bantuan banjir.
“Saya akan bersama JKKN, ketua setiausaha negeri, dan ketua menteri mengiringi ke mana sahaja beliau pergi dan beliau akan beritahu saya apa yang diperlukan dan saya akan atur sumber yang diperlukan.
“Ada sesuatu yang tidak kena dalam situasi di Pulau Pinang,” katanya.