Update Tun M: ‘Tak usah cucuk orang Indonesia. Mereka tak boleh undi PRU14' >> Berita Malay 18

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sepucuk suratynya kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia menasihati Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim supaya tidak menjadi “tukang cucuk” berhubung kenyataannya mengenai isu “Bugis" yang didakwa dikaitkan dengan lanun.
Katanya, beliau sedar tugas duta adalah mempertahankan negara tetapi mempersoalkan sama ada rakyat Indonesia, khususnya yang berketurunan Bugis boleh berbangga dengan seorang penyamun besar di kalangan keturunan itu.
“Tetapi orang Indonesia semua tahu Najib adalah seorang perasuah dan penyangak yang telah merosakkan Malaysia.
“Tak usahlah cucuk orang Indonesia. Mereka tak boleh undi PRU-14.
“Bolehkah Bugis bangga dengan seorang penyamun besar menyatakan ia dari keturunan Bugis, bahkan pahlawan Bugis,” soalnya.

Dalam suratnya, bekas perdana menteri itu mengulangi kenyataannya bahawa beliau tidak berkata orang Bugis sebagai lanun. “Yang saya kata ialah Najib mungkin dari keturunan Bugis.
“Memang pun di zaman dahulu ada lanun Bugis. Ada juga suku kaum termasuk Melayu menjadi lanun. Hari ini pun ada lanun di Selat Melaka.
“Tetapi yang kita tahu ialah perdana menteri dikenali oleh dunia sebagai penyangak (crook) yang telah curi berbilion ringgit dari 1MDB, KWSP, KWAP, Tabung haji dan lain-lain,” katanya.
Zahrain pada 20 Oktober lalu, mendesak Mahathir membuat permohonan maaf segera atas keterlanjurannya itu kerana ia membawa masalah kepada rakyat Malaysia di Indonesia.
Katanya, Mahathir meletakkan pihak kedutaan dan rakyat Malaysia dalam bahaya kerana kata-katanya telah menimbulkan kemarahan rakyat tempatan yang berketurunan Bugis.
Dua hari lalu, Naib Presiden Indonesia Muhammad Jusuf Kalla, yang sendiri adalah keturunan Bugis, berkata beliau terkejut dengan "kenyataan Bugis" Mahathir itu dan menuntutnya memohon maafnya.
Kontroversi timbul apabila Mahathir ketika berucap dalam satu perhimpunan "anti-kleptokrasi" Pakatan Harapan di Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu dilaporkan menggesa Najib supaya balik ke Sulawesi, tempat asal bagi mereka yang berketurunan Bugis, termasuk presiden Umno itu.

Antara kenyatannya itu berbunyi: “Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis."
Susulan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga dilaporkan murka manakala Dewan di-Raja Selangor mahu satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan diambil ke atas Mahathir.
Walau bagaimanapun, Mahathir berulang kali menafikan dakwaan itu, dan menegaskan bahawa beliau hanya merujuk kepada Najib dan bukannya orang lain.
Himpunan "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" itu diadakan bagi memberi penerangan mengenai skandal kewangan 1MDB dan kesannya kepada rakyat Malaysia.
1MDB yang adalah cetusan ilham Najib. Ia kini menjadi siasatan di beberapa negara termasuk Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang mendakwa sebanyak AS$4.5 bilion diselewengkan dan sebahagian dana itu telah disalurkan menerusi sistem kewangan negara itu.
DOJ telah memfailkan beberapa saman sivil sejak tahun lalu untuk merampas dakwaan hasil penyelewengan dan juga mendedahkan pada pemfailan mahkamah bahawa siasatan jenayah sedang dijalankan. Saman pelucuthakan sivil DOJ mengaitkan "Malaysian Official1" (MO1) dalam skandal 1MDB dan memaklumkan bahawa sebahagian dana firma pelaburan negara Malaysia itu telah dialihkan melalui akaun banknya dan digunakan untuk membeli berlian kepada isterinya.
MO1 didakwa merujuk kepada Najib, tetapi perdana menteri itu berulang-kali menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :