Penduduk Felda Gugusan Bera kini mampu menarik nafas lega apabila 52 tiang lampu LED telah dipasang di persimpangan Felda Triang 3, Felda Sebertak dan persimpangan ke Tasek Bera.
Lampu LED yang disediakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu mula beroperasi seminggu lalu.
Pengerusi Kami Anak Felda (KAF) Felda Sebertak, Rosli Abu Kassim berkata, sejak lampu LED itu beroperasi, laluan menjadi lebih selamat dan suasana seolah-olah seperti berada di kawasan bandar.
“Konsep Membandarkan Luar Bandar yang diinginkan KKLW tercapai kerana jalan utama di Felda ini tidak lagi bergelap sehingga menyukarkan penglihatan pada waktu malam, yang mana kerap berlaku kemalangan di kawasan terbabit, selain haiwan ternakan yang berkeliaran.
“Sepanjang seminggu ni, dengan adanya lampu ini bukan sahaja memudahkan pemanduan pengguna tetapi memeriahkan kawasan kampung di sini,” katanya.
Beliau yang mewakili generasi Felda berterima kasih kepada kerajaan terutamanya Menteri KKLW yang juga Ahli Parlimen Bera, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob yang sangat prihatin dengan keperluan warga Felda di sini.
Sementara itu, Norizan Ismail, 41, berkata, keadaan terang-benderang di jalan persimpangan Felda Sebertak bukan sahaja menjadikan kawasan kampung meriah tetapi yang paling penting, ia lebih selamat kepada pengguna.
Katanya, jika sebelum ini, ramai penduduk mengadu kerana jalan terlalu gelap sehingga tmereka erpaksa berhati-hati terutama haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran.
“Sekarang memang nampak meriah, jalan jadi terang. Jadi, bila orang lalu jalan utama di sini, tak perlu dah nak risau macam-macam.
“Cuma, saya harap tiada yang mengambil kesempatan menjadikannya sebagai tempat lepak atau berkumpul memandangkan kawasan itu sudah terang,” katanya.
Pada masa sama, warga Felda turut gembira apabila jalan di laluan utama itu juga telah siap di naik taraf, sekali gus memudahkan perjalanan pengguna tanpa perlu mengelak sebarang lubang atau kerosakan jalan sebelum ini.