Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini memberikan penjelasan mengapa pemimpin Umno yang kini lantang menyerang kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berbuat demikian ketika bekas perdana menteri itu berkuasa.
"Surat khabar yang kritikal ditutup. Pengkritik-pengkritik politik dicekup dan dihumban ke penjara dalam Ops Lalang," kata Khairy hari ini.
Bercakap di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, Khairy membangkitkan insiden Memali, sekatan terhadap badan kehakiman, penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sebagai bukti Mahathir berusaha menghapuskan perbezaan pendapat.
Ucapannya berkisar mengenai Mahathir, yang kini mengetuai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (HARAPAN).
"Dalam parti, kerajaan dan negara wujud a culture of fear. Kuku besi. Sekarang dia bercakap macam dia orang suci dan kita pula yang zalim dan diktator," katanya.