Berkuat kuasa hari ini, Hentian Akhir Bandar (HAB) Medan Pasar akan dikategorikan semula sebagai sebuah hentian bas. Dengan perubahan ini, bas tidak dibenarkan lagi untuk menunggu atau diparkir di lokasi tersebut. Bas hanya dibenarkan untuk mengambil dan menurunkan penumpang.
Perubahan ini adalah bagi melancarkan aliran trafik di kawasan Medan Pasar (berdekatan HSBC), yang mengalami masalah kesesakan lalu lintas ketika waktu puncak. Bas yang berhenti di kawasan itu juga didapati telah menyumbang kepada kesesakan tersebut.
Mengikut Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) semalam, peralihan ini akan melibatkan 50 bas yang dikendalikan oleh syarikat Selangor Omnibus Co Bhd dan Setara Jaya Sdn Bhd. Maklumat bagi penumpang telah dipamerkan di dalam bas-bas terlibat serta di HAB Medan Pasar dan Lebuh Pudu sejak minggu lepas.
Bagi mempermudahkan penumpang, kakitangan daripada Selangor Omnibus, Setara Jaya, dan SPAD akan ditugaskan bermula hari Sabtu 23/12/2017 di hentian Medan Pasar bagi memantau proses peralihan.
Dengan perpindahan ini, akan terdapat tiga HAB di dalam Pusat Bandar Kuala Lumpur, iaitu: HAB Munshi Abdullah, HAB Pasar Seni dan HAB Lebuh Pudu. Adaah diharapkan dengan penempatan semula HAB-HAB ini, trafik di dalam bandar Kuala Lumpur akan menjadi lancar untuk kemudahan semua pihak. Tahniah SPAD. Berikut adalah Kenyataan Media penuh berkenaan perkara ini.