Update [KUANTAN] KLINIK BERGERAK GUNA BAS MINI >> Berita Malay 18


Klinik bergerak guna bas mini


Perkhidmatan klinik bergerak menggunakan bas mini yang direka khas Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pahang memberikan impak positif terhadap masyarakat apabila berlaku peningkatan pengguna berbanding sebelum ini.

Perkembangan itu berdasarkan sambutan orang ramai mendapatkan pemeriksaan saringan kesihatan terutamanya untuk kaum wanita meningkat sepanjang tiga bulan bas tersebut beroperasi bermula September lalu.

Pemangku Pengarah LPPKN Pahang, Siti Asmad Zakarni berkata, dalam tempoh tempoh tiga bulan, seramai 1,100 ahli masyarakat mendapatkan pemeriksaan menerusi perkhidmatan tersebut berbanding hanya 523 orang pada Januari hingga Ogos lalu.

Menurutnya, klinik bergerak yang beroperasi dengan enam kakitangan klinikal pada satu masa itu dilihat tepat pada masanya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mendapatkan pemeriksaan awal.

“Sebelum ini, sikap malu menyebabkan mereka segan mendapatkan pemeriksaan namun dengan bas bergerak ini, ia lebih selesa dan privasi.

“Selain itu dengan bas ini, kita boleh memberikan perkhidmatan kepada penduduk di pedalaman seperti perkampungan Orang Asli dan lokasi terpencil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perasmian program Coaster LPPKN Pahang dan Kesihatan dan Keselamatan Wanita anjuran lembaga tersebut bersama Pertubuhan Pronita Pahang di perkarangan Kompleks Yayasan Pahang di sini kelmarin.

Pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menyempurnakan perasmian klinik bergerak terbabit dan mencuba pandu uji bas tersebut.

Sementara itu, Siti Asmad berkata, bas tersebut diterima penghujung Januari lalu dan setakat ini telah menjelajah ke seluruh daerah di Pahang.

“Dan dengan musim di penghujung tahun ini, perkhidmatan ini akan turut berada di pusat-pusat pemindahan banjir.

“Kita turut mengalu-alukan mana-mana pihak sama ada jabatan ataupun NGO untuk mendapatkan perkhidmatan klinik bergerak,” katanya sambil memberitahu lagi bas tersebut turut menawarkan perkhidmatan kaunseling.

Dilengkapi dengan peralatan seperti tempat penyimpanan klinikal, ruang menunggu selain kakitangan, orang ramai boleh mendapatkan pemeriksaan tersebut dengan harga RM25 bagi satu pakej meliputi pemeriksaan kencing manis, tekanan darah, berat badan, payu dara dan pap smear.


Subscribe to receive free email updates: