JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (Harapan) mendakwa pembentukan barisan pembangkang itu digeruni parti kerajaan sehingga permohonan mereka mendaftarkan PH masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjuangan dan kesepakatan parti-parti Harapan untuk menentang kleptokrasi dalam pentadbiran kerajaan membuatkan BN berasa bimbang.
Katanya, permohonan penubuhan Harapan bukan perkara yang sukar untuk dipertimbangkan namun pihak RoS memberikan pelbagai alasan.
"PH tidak dibenarkan untuk tubuh sebab dia (BN) takut apabila kita bersatu hati untuk menentang kleptokrasi. Dah lama dah tapi sehingga kini masih belum diluluskan.
"Ia bukanlah satu perkara yang susah. Alasan RoS mengenai masalah Bersatu dan DAP hanyalah dalil mereka supaya Harapan tidak ditubuhkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bagi menyempurnakan Pelancaran Wanita Pakatan Harapan Johor di Hotel Tropical Inn di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, walaupun penubuhan pakatan itu masih belum diluluskan namun roh perjuangan mereka sudah terbentuk dan akan terus mengukuhkan pakatan pembangkang.