Pemimpin DAP dan PKR menggesa SPRM menyiasat kontrak itu tanpa perlu menunggu orang ramai membuat laporan.
KUALA LUMPUR: Dua wakil rakyat pembangkang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemberian kontrak kepada penerbit akhbar harian Umno, Utusan Melayu untuk membekalkan lebih 180,000 tablet kepada guru sekolah di seluruh negara.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim meminta SPRM menjalankan siasatan ke atas perkara itu tanpa perlu menunggu orang ramai membuat laporan.
“SPRM perlu siasat, mereka tidak memerlukan satu laporan dibuat, baru mereka akan siasat,” katanya kepada FMT hari ini.
Pengarah pendidikan politik DAP Pulau Pinang itu berkata, projek berkenaan sepatutnya diberikan melalui tender terbuka supaya Kementerian Pendidikan boleh mendapat harga lebih rendah, bukannya terus memberi tender itu kepada syarikat penerbitan akhbar itu.
“Tender terbuka boleh memastikan kontraktor perbekalan yang benar-benar layak dengan harga lebih baik dan bukannya melalui kronisme atau rasuah,” katanya.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mengesyaki pemberian tender terus kepada Utusan Melayu adalah usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menyelamatkan lidah rasmi mereka yang mengalami kerugian saban tahun.
“Saya syak ini cara nak ‘bailout’ Utusan. Kalau tablet ini dibeli dengan tender terbuka, sudah pasti akan mengurangkan kos kerana sekarang tablet sangat murah.
“Tanpa tender terbuka, kita syak kosnya akan lebih tinggi. Ini bermakna kosnya akan lebih rendah dan servis lebih baik, jika melalui tender terbuka,” katanya yang menggesa SPRM menyiasat tender itu.
Pengarah Strategi PKR itu berkata, Utusan merupakan syarikat penerbitan akhbar dan sepanjang pengetahuannya tidak mempunyai pengalaman membekalkan komputer serta gajet.
Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan dilaporkan berkata, Utusan Melayu diberikan kontrak itu yang setakat ini menelan belanja RM152 juta.
Beliau menjawab soalan Steven di Dewan Rakyat minggu lalu berhubung projek tablet itu yang diperuntukkan dalam Bajet 2017 yang dijangka menelan kos keseluruhan RM340 juta.
Steven mempersoalkan pemberian projek tersebut dengan berkata: “Bagaimana sebuah syarikat surat khabar yang mengalami kerugian tiap-tiap tahun boleh diberi kontrak RM340 juta membekalkan komputer tablet?”
Katanya, syarikat akhbar itu mencatat kerugian hampir RM220 juta sejak 2013.
Steven turut memetik laporan Biro Audit Pengedaran pada Mei lepas yang mendapati kejatuhan pengedaran akhbar itu sebanyak 14% atau lebih 20,000 naskhah, manakala edisi Ahad, Mingguan Malaysia pula merosot 10% atau lebih 30,000 naskhah.
Katanya, pemberian kontrak tablet itu merupakan “talian hayat” kerajaan kepada akhbar itu.
Semalam, Utusan Melayu dan Kumpulan Utusan mengumumkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM31.5 juta bagi suku ke-3 tahun ini berbanding kerugian RM10.7 juta dalam suku sebelumnya.
Kumpulan Utusan dilaporkan berkata, ia disebabkan peningkatan perolehan sebanyak 74% yang disumbang terutamanya oleh keuntungan daripada penjualan hartanah, serta peningkatan perolehan dalam talian yang dijana daripada projek pembekalan tablet kepada guru Kementerian Pendidikan.