Pemimpin PH rata-rata tidak terkejut dengan 'Ruang Penerangan' di PAU bagi menyerang kepimpinan mereka, malah mengangga ia satu pengiktirafan mengenai ancaman mereka.
KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin pembangkang berkata mereka tidak hairan dengan poster anti-pembangkang yang dinaikkan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang sedang berlangsung sekarang ini, malah menyifatkan serangan itu bukti kejayaan Pakatan Harapan (PH) yang menggerunkan Umno.
PPBM menganggap ia semata-mata mahu menimbulkan kemarahan pemimpin parti terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata Umno telah lama memusuhi DAP dan sudah dijangka ia akan mengaitkan bekas presiden Umno itu dan PPBM dengan DAP.
“Ia sekaligus mengalih perhatian perwakilan daripada isu kenaikan kos hidup, rasuah salahguna kuasa 1MDB, Felda, Mara dan lain-lain,” katanya kepada FMT.
Bagi Amanah, apabila Umno menjadikan kepimpinan PH sebagai fokus, ia memberikan isyarat “kejayaan besar” kepada gabungan 4 parti itu bahawa pertembungan pilihan raya umum ke-14 nanti adalah pertembungan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).
“Itu satu kejayaan besar yang saya tak tahu sama ada sedar atau tidak sedar, diiktiraf oleh Umno sendiri dalam PAU mereka,” kata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.
“Bagi saya, satu kejayaan besar Pakatan Harapan untuk mengheret sekali Umno. Bukan sekadar kita berjaya mendidik minda masyarakat Malaysia untuk memilih seolah-olah sistem 2 parti iaitu antara BN dan PH, tetapi berjaya mengheret Umno itu sendiri, di mana dalam Perhimpunan Agung Umno mereka sendiri mengiktiraf tentang begitu besarnya peranan dan ancaman PH kepada mereka,” katanya.
Ruang pameran di PAU memaparkan poster wajah pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan pelbagai mesej anti-DAP.
Poster menunjukkan PH dipimpin Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Azmin Ali, sambil menuduh mereka menjadi “badut” DAP.
Ia turut mendakwa DAP memecah belahkan pemimpin Melayu dan mencabar hak keistimewaan orang Melayu.
Antara slogan yang dipaparkan termasuk “Pakatan pro-DAP tidak hormat agamawan”, “Tony Pua, DAP desak keistimewaan diskaun rumah 7% untuk bumiputera dihapuskan”, “Islam dipinggirkan di Pulau Pinang”, “DAP perguna parti Melayu”, “Azmin badut DAP” dan “UTun Mahathir”.
Ruang yang diberi nama Koridor Penerangan itu adalah pertama kali diwujudkan menyerang pembangkang, menurut petugas Umno yang ditemui FMT, dan disediakan dengan bantuan pelajar dan pegawai penerangan parti.
Kamaruddin, yang pernah mengetuai Umno Pasir Puteh, turut mempersoalkan bagaimana Dr Mahathir dan lain-lain yang pernah berbakti kepada nehara kini menjadi badut kepada DAP.
Katanya, Dr Mahathir terkenal sebagai seorang yang lantang dalam isu antarabangsa termasuk Palestin.
Read More / Baca Lagi >>