Perang mulut antara Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi hangat minggu lepas.
Perang mulut kedua-dua tokoh besar Barisan Nasional (BN) itu bermula setelah buku Pandikar terbaru bertajuk “Berpisah Tiada” dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid pada 27 November yang lalu.
“Saya dapati tidak wujud perkara seperti Sabah dan Sarawak setaraf dengan Malaya. Bagaimana boleh dikatakan Sabah dan Sarawak setaraf dengan Malaya kerana selepas Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, Malaya sudah tidak lagi wujud,” kata Pandikar ketika melancarkan bukunya bagi menjawab hujah sesetengah pihak bahawa Sabah dan Sarawak adalah setaraf Malaya.
Sebenarnya 2 minggu sebelum itu, Pandikar sudah pun mengeluarkan pandangan yang sama. Beliau menyeru rakyat Sabah untuk memahami kandungan sebenar MA63 dan proses pembentukan Malaysia sebelum membuat tafsiran berhubung isu berkaitan kerana beliau bimbang ada pihak luar yang berkepentingan sengaja memainkan emosi rakyat Sabah di dalam isu ini.
Di bawah MA63, Pandikar menjelaskan Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan yang sama dengan negeri lain di Semenanjung, tetapi ia memiliki autonomi dan hak jaminan perlembagaan.
“Namun, ada pihak seperti kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) berpusat di United Kingdom yang diketuai Doris Jones serta pemimpin pembangkang di negeri ini, mendakwa taraf Sabah dan Sarawak sudah dilucutkan.
“Jadi, apa motif sebenar mereka kalau bukan untuk politik kerana dakyah mereka membangkitkan kemarahan, khususnya kepada generasi muda untuk membenci kerajaan?” kata beliau.
Pandikar mengingatkan bahawa perbandingan kemajuan di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak bagi menggambarkan keadaan kedua-dua negeri yang masih ketinggalan adalah tidak sesuai kerana pembangunan infrastruktur seperti jalan raya bersifat antara daerah berbanding antara negeri di Semenanjung.
Hujah Pandikar turut disokong Zahid.
Ketika melancarkan buku Pandikar, Zahid turut menyambung hujah Pandikar sambil menyelar “pihak tertentu” yang menggunakan kajian akademik bagi menimbulkan ketegangan hubungan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.
“Mutakhir ini, ada ahli akademik menggunakan kajian seumpamanya untuk cuba mempengaruhi pembaca dan menyemarakkan api kebencian terhadap kononnya, kelemahan dalam 20 Perkara yang dipersetujui pemimpin dulu.
“Jika memang ada kelemahan atau perkara yang harus dikemas kini, kaedah terbaik adalah melakukan perundingan dengan kebijaksanaan dan ketatasusilaan,” jelas Zahid.
Read More / Baca Lagi >>