Timbalan pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan menyebut mengenai kelemahan bukti untuk mengheret ketua penerangan Umno itu ke mahkamah.
“Setelah diteliti, diputuskan oleh pendakwaraya untuk tidak mendakwa beliau (Annuar).
“Ini kerana keterangan-keterangan yang diambil serta bukti yang dikumpul setakat ini tidak mencukupi untuk mendakwanya,” kata Azam seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian.
Susulan itu, Annuar digantung dari jawatannya sebagai pengerusi Mara dan pengerusi Pelaburan Mara.
Isu itu pada awalnya dibangkitkan oleh Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa Annuar memaksa Pelaburan Mara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKl) untuk menaja Kelantan FA.
Annuar juga merupakan presiden Kelantan FA sehingga November 2016.
UniKL merupakan institut milik penuh Mara manakala Pelaburan Mara bertanggungjawab ke atas pelaburan bawah agensi itu.
Laporan Sinar Harian juga memetik kenyataan pengerusi Mara, Dr Awang Adek Husin yang menafikan dakwaan Annuar akan kembali dilantik ke agensi tersebut.
“Saya secara rasmi tidak mendengar Annuar akan kembali ke Mara. Khabar angin mungkinlah,” kata Awang Adek.