Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini mengkritik kurangnya kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan dalam siasatan ke atas kubur beramai-ramai di Wang Kelian.
Suhakam berkata mereka menghadapi “kesukaran” mendapatkan maklumat daripada agensi penguat kuasa, terutamanya polis.
Permintaan mendapatkan maklumat daripada Kementerian Dalam Negeri juga tidak terjawab, katanya.
Suhakam berkata tindakan melengahkan siasatan jenayah itu juga menyebabkan pihak suruhanjaya menghubungi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Thailand untuk bekerjasama.
“Suhakam amat prihatin dengan kurangnya kemajuan dalam penyiasatan jenayah yang boleh mengakibatkan pelaku bebas daripada hukuman.
“Kami mendesak pihak berkuasa memastikan siasatan yang sedang berjalan dikendalikan dengan tekun oleh pegawai yang cekap kerana kerajaan tidak boleh dilihat turut bertanggungjawab ke atas tragedi itu dengan tidak memasukkan, mengabaikan dan/atau tidak dapat bertindak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rabu lalu, New Straits Times (NST) melaporkan ada usaha besar-besaran untuk menyembunyikan sesuatu dalam kes kubur beramai-ramai Wang Kelian yang ditemui di sempadan Malaysia-Thailand pada 2015.
Akhbar itu melaporkan pihak berkuasa bukan sahaja sudah tahu mengenai perkuburan itu, tetapi juga melengahkan pengumumannya sehingga 4 bulan selepas ia mula ditemui.
Akhbar itu juga melaporkan polis membersihkan kawasan itu sehingga membinasakan potensi bukti jenayah di tempat kejadian sebelum diproses forensik.
Akhbar itu berkata siasatan 2 tahun mendedahkan Wang Kelian mungkin sebahagian daripada usaha terselaras dan besar-besaran untuk menyembunyikan sesuatu.
Suhakam turut melancarkan siasatan tersendiri ke atas kes itu dan memuji akhbar itu atas usaha dan kesungguhan menyiasat kem maut itu dan mengesali kelengahan dalam siasatan.
“Walaupun terdapat banyak halangan dan kesulitan kerana peredaran masa, Suhakam memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kami akan cuba sedaya-upaya untuk menyiasat kejadian ngeri itu hingga ke akar umbi.
“Laporan Suhakam akan diumumkan kepada orang awam dan pihak berkuasa,” katanya.