2.Bagi diri saya tidak ada apa pun yang saya minta. Tawaran Kerajaan untuk memberi percuma tanah di Putrajaya diwaktu saya letak jawatan, seperti kepada bekas Perdana Menteri yang lain, pun saya tolak. Saya minta untuk membeli tanah di Putrajaya dan saya bayar satu juta untuk sekeping. Duit ini dari tabung simpanan saya selama 29 tahun dalam Kerajaan. Tak hutang.
3.Hadiah yang diberi kepada saya semasa dalam Kerajaan saya pulangkan balik kepada Kerajaan. Semua boleh dilihat di Galeria Langkawi dan kediaman PM lama di Jalan Terengganu, off Jalan Damansara.
4.Yang saya minta dari Najib ialah untuk negara dan untuk rakyat. Semuanya ditolak tetapi dalam PRU13 saya masih sokong Najib. Walaupun saya menyatakan Najib harus berhenti jika pencapaiannya dalam PRU 13 lebih buruk dari Abdullah dalam PRU 12, setelah kemenangannya dalam PRU 13 lebih buruk dari Abdullah saya masih terus menyokongnya sebagai Perdana Menteri.
5.Hanya apabila rahsia hutang dan kerugian 1MDB terbongkar barulah saya tarik sokongan saya daripada Najib.
6.Kalau kerana jambatan tidak dibina, sudah lama saya berhenti dari menyokongnya. Kalau kerana landasan berkembar elektrik tidak dibina dari Johor Bahru ke Padang Besar, sudah lama saya hentikan sokongan saya kepada Najib. Bukan kerana tidak layan permintaan saya untuk negara pun yang saya tarik sokongan saya dari Najib.
7.Najib biasa datang jumpa saya untuk bertanya apa yang saya hendak. Saya fikir ia ikhlas dan saya pun sebut beberapa projek pembangunan untuk negara. Kemudian saya sedar ia sedang mencuba sogok saya dengan cara ini supaya saya tidak bangkit soal 1MDB.
8.Tetapi kehilangan wang Kerajaan terlalu besar. Hanya kerana melayan saya tidak boleh dijadikan alasan bagi saya pejam mata berkenaan kehilangan duit Kerajaan berbillion-billion. Oleh itu saya teruskan juga membangkitkan soal 1MDB. Apatah lagi apabila 2.6 billion Ringgit tiba-tiba didapati ada dalam akaun persendirian Najib.
9.Tidak pernah dalam sejarah Malaysia merdeka, Perdana Menteri Malaysia memiliki sebegitu banyak duit. Untuk apa tujuan pun Perdana Menteri Malaysia tidak harus memiliki 2.6 billion Ringgit.
10.Yang jelas ialah tanpa duit yang begitu banyak, BN dan UMNO telah menang dengan berkali lebih baik dari Najib dalam PRU 13. Bukan wang yang boleh beri kemenangan. Khidmat pada rakyat dan keikhlasan niat yang memberi kemenangan bagi parti.
11. Kononnya duit ini diderma oleh penderma-penderma yang tidak suka dikenali. Mereka pula tidak sanggup memberi terus kepada UMNO tetapi sebagai “pemimpin” mereka sanggup beri hanya kepada Najib sebagai pemimpin untuk disimpan olehnya dalam akaun peribadi. Ini tidak masuk akal sama sekali melainkan ada niat untuk tidak menjelas dari mana duit itu datang, menyembunyi perbelanjaan.
12.Tuduhan dibuat bahawa Bank Negara tahu. Apa buktinya Bank Negara tahu. Kenapa laporan dari Bank Negara ditolak oleh AG. Apakah AG tidak percaya kepada Bank Negara sedangkan kita dikehendaki percaya Bank Negara berkenaan sesuatu yang hanya disebut oleh Najib, tidak oleh Bank Negara.
13.Adakah lebih meyakinkan jika laporan Bank Negara didedah daripada hanya Najib berkata Bank Negara tahu. Wang 50 million dan lebih yang dimasuk dalam mana-mana bank mesti mendapat kelulusan Bank Negara. Tunjuk sahaja bukti kelulusan Bank Negara berkenaan RM2.6 billion dan Najib akan dipercayai.
14.Percubaan memburukkan nama saya dengan berkata saya juga menyebabkan wang Kerajaan hilang kerana tindakan dan pelaburan yang merugikan. Najib sendiri mengaku bahawa dalam perniagaan adakala untung adakala rugi. Yang utama ialah segala yang dilakukan ditulis dalam akaun yang telus dan terbuka. Dan segala urusan dibuat oleh pengawai Kerajaan yang bertanggungjawab. Saya tidak terlibat dengan pengurusan terutama pengurusan modal wang. Tugas saya tamat dengan melulus pelaburan. Saya tidak menjadi pengurus atau penasihat eksekutif.
Read More / Baca Lagi >>