Penyelidik Zuhdi Marzuki berkata Amanah parti kecil dan tiada pemimpin mereka tidak disokong jentera yang kuat.
Penyelidik PAS itu berkata Amanah tidak mempunyai kawasan yang banyak dan pemimpin kawasan yang sedikit berbanding parti PH lain.
“Kalau dapat 27 kerusi, pada saya memang layak, sebagai sebuah parti kecil seperti itu,” katanya kepada pemberita selepas kuliah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar hari ini.
Beliau menambah walaupun Amanah mempunyai beberapa personaliti politik yang terkenal, mereka tidak disokong jentera yang kuat.
“Mereka ini kuat sewaktu dalam PAS. PAS yang menguatkan pemimpin mereka. Presiden mereka, Mohamad Sabu, (timbalan presiden) Salahuddin Ayub, bila mereka keluar PAS mereka tiada kekuatan,” katanya.
Zuhdi percaya keputusan Pakatan Harapan menyedari Amanah tidak akan mampu menarik sokongan pengundi Islam sepertimana PAS.
“Diantara PKR dan Amanah, PKR lebih kuat sebenarnya tarik undi Melayu,” katanya.
PH sebelum ini mengumumkan agihan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia sudah selesai di kalangan 4 parti, Selain 27 untuk Amanah, PPBM akan bertanding di 52 kerusi, PKR di 51 kerusi manakala DAP di 35 kerusi.
Keputusan itu mencetuskan rasa tidak puas hati Amanah Johor, yang bertindak memboikot konvensyen Pakatan Harapan 7 Januari lepas.