
Kota Bharu: Dato' Sri Najib Razak berkata Kerajaan Persekutuan mengikut prinsip Islam dengan mentadbir secara adil dan tidak membezakan rakyat walaupun berlainan parti politik.
Perdana Menteri memberi contoh yang beliau sentiasa mengutamakan rakyat Kelantan termasuk yang terbaharu melaksanakan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan.
Katanya, projek berkenaan melenyapkan 'mimpi ngeri' rakyat negeri ini yang sering dilanda banjir termasuk yang besar pada tahun 2014.
"Saya kata pembangunan kita mesti bersifat inklusif iaitu menyentuh setiap pelusuk rantau dari sempadan Siam (Thailand) sehingga Filipina, kita mesti buat pembangunan untuk semua rakyat dan saya tidak mahu ada yang ketinggalan.
"Ini berdasarkan prinsip agama Islam yang mahu kita menjadi pemimpin yang adil kepada semua.
"Sebab itulah saya berbeza dengan pemimpin terdahulu yang memerintah selama 22 tahun tapi meminggirkan Kelantan atas perbezaan politik." katanya dalam ucapannya di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 1, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustafa Mohamed.
Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan yang bernilai RM572 juta bagi fasa 1, dijangka dapat menyelesaikan masalah banjir yang melanda penduduk di lembangan Sungai Kelantan.
Projek itu akan bermula esok dan dijangka siap pada 28 Mei 2021.
Najib berkata, kerajaan mentadbir negara dengan baik serta melaksanakan dasar transformasi nasional bukan secara awangan tapi diterjemah dengan penuh tanggungjawab.
"Kita dapat melakukan pembangunan kerana kewangan negara kukuh, kalau kewangan lemah tidak mungkin kita akan melakukan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada Julai ini.
'Ini belum lagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan siap dalam masa enam tahun lagi. Kelantan akan jadi maju kerana perjuangan, dasar dan iltizam kerajaan serta berlaku adil pada semua," katanya.