Gegak gempita macai-macai ProTun sesudah Konvensyen Pakatan Harapan 2018 semalam. Kata mereka, parti Melayu terbesar di dalam Pakatan Harapan, PPBM menguasai dan mendominasi kerusi Parlimen. Mereka kata jangan risau dominasi kaum Cina dalam DAP sebab DAP hanya diperuntukkan 35 kerusi Parlimen sahaja berbanding PPBM sebanyak 52 kerusi.
Berdasarkan "Muafakat Pakatan Harapan" yang ditandatangani oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR, DS Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PPBM, TS Muhyiddin Yassin, Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, dan Presiden PAN, Mohamad Sabu, jelas dinyatakan bahawa:
Sebagai persiapan Pakatan Harapan menghadapi dan memenangi PRU 14, kami telah memutuskan pengagihan kerusi-kerusi kawasan Parlimen bagi Semenanjung iaitu yang melibatkan 165 kerusi, seperti berikut:
a. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) – 52 kerusi
b. Parti Keadilan Rakyat (PKR) – 51 kerusi
c. Parti Tindakan Demokratik (DAP) – 35 kerusi
d. Parti Amanah Negara (AMANAH) – 27 kerusi
Jumlah 52+51+35+27 = 165 hanya melibatkan kerusi Parlimen di Semenanjung sahaja. Jumlah kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 ialah 222. Di mana bakinya? Kerusi-kerusi di atas adalah untuk Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak termasuk kerusi-kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak yang akan ditanding oleh DAP, PKR dan PAN.
Termasuk Sabah dan Sarawak, jumlah kerusi yang akan ditanding oleh DAP sama ataupun lebih dari PPBM. Ini tidak termasuk parti PAN yang boleh dianggap sebagai parti cawangan DAP. Nama Tun Dr Mahathir kurang boleh digunakan di Sabah dan Sarawak dan PPBM tiada satu cawangan pun di sana. PPBM tidak akan bertanding satu kerusi di sana.
Kedua, kerusi-kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh PPBM boleh disifat sebagai kerusi kamikaze di mana kebanyakkan adalah pertandingan 3 penjuru dengan PAS dan UMNO. Kerusi-kerusi Parlimen ini merupakan kubu-kubu kuat UMNO ataupun PAS. Kemungkinan untuk PPBM menang sangat tipis. PPBM telah dijadikan bahan korban untuk PKR dan DAP / PAN.
Ketiga, bagi DAP, daripada 35 kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di Semenanjung di dalam PRU ke 14 ini, 31 daripadanya adalah kerusi yang telah sedia dimenangi oleh DAP di dalam PRU ke 13 yang lalu.
Keempat, DAP telah meletakkan 4 calon di Sabah di dalam PRU ke 13. Pada 30/12/2016, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, telah mengisytiharkan bahawa DAP akan menggandakan bilangan kerusi Parlimen (dan kerusi Dewan Undangan Negeri) yang akan ditandinginya di dalam PRU 14 di Sabah, bermakna bahawa bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di Sabah di dalam PRU 14 ini ialah 8.
Kelima, di dalam PRU 13 lalu juga, DAP telah meletakkan 11 calon di Sarawak. Pada 30/04/2016 Penasihat DAP, Lim Kit Siang, telah mengisytiharkan bahawa strategi DAP Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) 2016 adalah bagi menyediakan DAP Sarawak untuk memenangi Kerajaan Negeri Sarawak dalam PRN Sarawak 2021, sekali gus menjadikan kemungkinan untuk DAP menandingi lebih banyak kerusi Parlimen di Sarawak di dalam PRU 14 itu ada.
Oleh itu, paling tidak sekalipun, bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di Sabah dan Sarawak di dalam PRU 14 ini adalah 19, sekali gus menjadikan bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di seluruh Malaysia di dalam PRU 14 meningkat menjadi 54.
54 kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh DAP di seluruh Malaysia di dalam PRU 14 adalah lebih tinggi berbanding 52 kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh PPBM di seluruh Malaysia, apatah lagi dengan status quo kemenangan kedua-dua parti di seluruh Malaysia adalah 38:0 untuk DAP.
Kesimpulannya, cubaan DAP untuk mengelabui mata Rakyat Malaysia bahawa yang akan mendominasi Pakatan Harapan ialah parti Melayu Islam PPBM, bukannya parti bukan Melayu bukan Islam DAP, jelas gagal. Permainan propaganda DAP sangat licik. Memetik kata-kata Timbalan Ketua DAP Pahang M Manogaran, Mahathir diangkat sebagai calon Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan serupa wayang Tamil.