Menurut Rafizi, memandangkan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) memiliki tanah tersebut, mereka akan menukarnya menjadi hak milik strata bagi pemilik, bukan Felda.
“Hak milik tanah dikembalikan semula kepada Felda, seolah-seolah tanah itu diberi semula. Mana ada, ia dah hilang!
“Mereka (Felda) beri tanah itu kepada pemaju untuk bina bangunan dan kondominium. Dalam beberapa tahun, hak milik tanah tidak akan wujud dan digantikan dengan hak milik strata,” kata Rafizi kepada The Malaysian Insight.
Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata, jika SPSB memberi semula dokumen kepada Felda, ia akan diserahkan semula kepada pejabat tanah.
Ini akan membawa kepada komplikasi seperti sama ada SPSB atau Felda perlu mengambil pinjaman dari bank untuk tanah terbabit.
“Jika mereka (SPSB) beri semula dokumen kepada Felda sekalipun, pejabat tanah harus meneliti semula dokumen (untuk menentukan) sama ada tanah itu telah dicagar untuk pinjaman atau kemudahan kewangan.
“Saya syak tanah itu telah dicagarkan untuk pinjaman. Itu sebabnya Felda berdiam diri.”
Tambah Rafizi adalah “tidak logik” untuk Felda kembalikan semula tanah yang melibatkan beberapa juta pada kos duti setem.
Pengerusi Felda Shahrir Abdul Samad semalam berkata Felda akan mendapatkan semula kesemua 17 lot tanah yang dipindahkan kepada SPSB dua tahun lalu.
Shahrir turut menafikan tanah berkenaan telah dijual kepada SPSB, yang membangunkan projek KLVC di atas tanah berkenaan.
Pada Selasa, Rafizi berkata tanah berkenaan sudah “hilang selamanya” kerana ia dijual kepada Synergy Promenade apabila pembinaan KLVC dijalankan.
Rafizi berkata memandangkan kelulusan sudah diberikan untuk pembinaan KLVC di atas tanah itu, pemiliknya adalah pemaju dan merupakan pembeli unit individu yang dibina di atas tanah berkenaan.
Rafizi berkata hanya sebahagian kecil tanah akan dikembalikan kepada Felda.
Plot tanah, bernilai RM270 juta, dipindahkan kepada syarikat swasta dalam satu transaksi yang diragui pada 2015.
Berikutan beberapa laporan polis dan jaminan kerajaan untuk menyiasat perkara itu, SPSB minggu lalu berkata akan mengembalikan hak milik tanah berkenaan kepada Felda tanpa sebarang kos.
Shahrir berkata projek KLVC akan diteruskan tetapi Felda akan merunding semula untuk terma dan syarat dengan pemaju.