Penyokong Pakatan Harapan mengambil peluang bergambar bersama Mohamed Azmin (tengah) pada program Jelajah Keadilan Peduli Rakyat, di Kampung Huma, Alor Janggus.
(Ubah saiz teks)
ALOR SETAR - Parti yang bakal menerajui Kedah sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU14 masih menjadi teka-teki, meskipun Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir merupakan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah.
Sebelum ini, PKR Kedah turut mengumumkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sebagai calon menteri besar Kedah. Ini menunjukkan Kedah masih menjadi rebutan antara PKR dan Bersatu.
Ketika diajukan parti yang bakal mengetuai Kedah bawah kerajaan Pakatan Harapan, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tegaskan, peranan PKR di Kedah tidak wajar dinafikan kerana sudah lama bertapak di negeri ini selain sudah pun ‘diuji’.
“Jangan nafi peranan PKR di Kedah untuk ketuai negeri ini jika Pakatan Harapan menang, PKR sudah lama bertapak di sini, bagaimanapun ia perlukan konsensus bersama. Pemimpin PKR walaupun pernah kalah beberapa pilihan raya, perjuangan tetap diteruskan,” katanya.
Menurutnya, parti itu tidak goyah dan kukuh untuk diberikan keutamaan memainkan peranan di negeri ini.
“PKR Kedah adalah parti perjuangan yang diuji dan sudah teruji dalam memainkan peranan penting. Jadi peranan PKR tidak boleh dinafikan, kepimpinan sedia ada sentiasa istiqamah dalam perjuangan, ini kelebihan kami,” katanya.
Mengulas calon menteri besar dari PKR yang telah diumumkan, Mohamed Azmin berkata, ia bukan keutamaan untuk diberikan perhatian.
“Itu pandangan parti, bagi saya seeloknya kita tumpukan pada kemenangan terlebih dahulu sebelum bincang siapa layak diangkat sebagai menteri besar kerana ia perlukan konsensus,” katanya.
Ditanya mengenai calon PRU14 di negeri ini, katanya, PKR mempunyai calon berwibawa dan mencukupi, selain yakin Kedah tidak perlukan calon import.
“Yang ada terlebih calon, masing-masing miliki integriti, jadi tiada masalah untuk pilih calon di Kedah. Jika yang disenarai pun sudah lebih dari cukup, tak timbul lagi isu calon import,” katanya.
Menurutnya, mana-mana individu yang komited dengan agenda reformasi dan diterima rakyat serta miliki rekod baik, mereka berpotensi dicalonkan.
Pada PRU13 lalu, PKR menang empat kerusi Dun daripada10 kerusi ditandinginya, iaitu di Bakar Arang, Sidam, Bukit Selambau dan Lunas.
Manakala bagi kerusi parlimen, PKR menawan kerusi Alor Setar, Kuala Kedah, Sungai Petani dan Padang Serai.