Update [KUANTAN] PERANGI JENAYAH RENTAS SEMPADAN >> Berita Malay 18


Perangi jenayah rentas sempadan



Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berhasrat meningkatkan lagi keupayaan dalam usaha memerangi jenayah rentas sepadan melalui eksesais bersama dengan lebih banyak agensi luar negara, pada masa akan datang.

Pengarah Pusat Penyelarasan Penguatkuasaan Maritim, Kapten Maritim Zainin Abd Majid berkata, melalui penglibatan bersama seperti Eksesais Bersama Maritim Malaysia dan Japan Coast Guard (JCG) yang dijalankan kelmarin dapat menyatukan prosedur piawaian operasi bersama agensi-agensi tersebut.

“Melalui penglibatan sebegini kita juga dapat mengukuhkan lagi usaha sama dalam operasi mencari dan menyelamat di laut (MSAR).

“Antara senario latihan Eksesais Bersama Maritim Malaysia dan JCG itu termasuk latihan menangani ancaman rompakan di laut, MSAR dan pendaratan pesawat udara di atas kapal.


Dalam senario eksesais berlatar belakangkan satu rompakan di atas sebuah kapal dagang, Pasukan Tindakan Khas (STAR) berjaya menyelesaikan misi menyelamat anak kapal dan memberkas lanun


“Eksesais seperti ini bukan sahaja dapat meningkatkan keupayaan tetapi mengukuhkan hubungan baik antara kedua-dua negara. Selain Jepun kita juga pernah bekerjasama dengan Australia dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata dalam satu sidang media Eksesais Bersama Maritim Malaysia dan JCG di Pelabuhan Kuantan, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Pemerintah Kapal JCG Tsugaru PLH02, Kapten Yuji Yamamoto dan Pegawai Memerintah KM Pekan, Kapten Maritim, Robert Teh Geok Chuan.

Eksesais Bersama Maritim Malaysia dan kapal JCG telah berlangsung selama tujuh hari yang berakhir 30 Januari 2018 diadakan di sekitar perairan Kuantan.

Eksesais Bersama ini merupakan eksesais siri ketiga di antara kedua-dua negara itu.


Kerjasama KM Pekan dan JCG Tsugaru PLH02

Dalam pada itu, menurutnya, keupayaan Maritim Malaysia sekali lagi telah diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui eksesais tersebut.

“Eksesais ini adalah antara latihan sedang dilakukan oleh kapal JCG Tsugaru PLH02 yang belayar dari Pelabuhan Hokadote, Jepun.

“Keistimewaan kali ini ialah menampilkan gandingan kali pertama KM Pekan dan JCG Tsugaru PLH02 yang mana KM Pekan adalah salah satu daripada dua kapal pemberian Jepun kepada Malaysia.

“Seramai 200 pegawai dan anggota Maritim Malaysia terlibat dalam eksesais tersebut termasuk beberapa aset seperti KM Gemia, Bot Kilat 49, sebuah pesawat AW139 dan Pasukan Tindakan Khas (STAR) manakala JCG pula melibatkan 60 pegawai, anggota serta sebuah helikopter Sikorsky 412,” katanya.



Eksesais tersebut turut melibatkan beberapa aset lain seperti KM Gemia, Bot Kilat 49 dan sebuah helikopter AW139.


Sementara itu, Yamamoto turut melahirkan rasa teruja kerana beliau merupakan bekas Pegawai Pemerintah JCG Erimo PL02 iaitu KM Pekan yang dimiliki Malaysia ketika ini.

“Kapal itu telah bertukar jadi cantik dan saya gembira mengetahui bahawa Maritim Malaysia menjaganya dengan baik sekali.

“Saya gembira untuk mengatakan bahawa Erimo boleh dikatakan sebagai simbol hubungan erat antara Jepun dan Malaysia.

“Di samping itu, latihan bersama yang diadakan antara JCG dan Maritim Malaysia ini lebih daripada sekadar latihan,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: