Bekas pimpinan Umno di Parlimen Tampin selama 18 tahun, Azman Abdullah (gambar) berkata, perubahan tersebut penting bagi mengelak rakyat menanggung lebih banyak masalah berkaitan kenaikan melambung kos sara hidup.
“Di Jelai, ini kubu Umno. 70 peratus pengundinya daripada Umno. Mohon makcik-pakcik, pimpinan Umno bahawa kita perlu membuat suatu perubahan kerana parti Umno tidak relevan lagi untuk memperjuangkan rakyat.
“Jika kasih dan sayangkan Umno, maka kita perlu mengundi Pakatan Harapan pada PRU-14 ini. Percayalah, kalau kita masih mengundi BN masa akan datang, 6 peratus (kadar cukai GST) akan meningkat.
“(Kerajaan) sudah tiada sumber lagi maka (pendapatan) diambil daripada rakyat sendiri melalui kenaikan GST,” jelasnya dalam ceramah umum anjuran AMANAH Tampin di Felda Jelai 4, Gemas, semalam.
Untuk rekod, Felda Jelai di Gemas terletak dalam Parlimen Tampin yang kemudiannya baru-baru ini diagih kepada AMANAH untuk ditandingi pada PRU-14 selain Jelebu.
Sementara itu, PPBM diperuntukkan kerusi Kuala Pilah dan Jempol manakala PKR mendapat Parlimen Teluk Kemang dan Rembau. Dua kawasan lagi iaitu Seremban dan Rasah akan ditandingi DAP.
Pada PRU-13, Tampin dimenangi BN apabila menewaskan Pas dengan majoriti 11,162 undi selain turut menawan Jelebu dengan majoriti 7,101 undi.
Azman, 45, turut menyifatkan Najib hanya menggunakan Umno untuk menyelamatkan kedudukan diri sendiri dengan mengimbas reaksi penolakan Umno akar umbi terhadap suami Datin Seri Rosmah Mansor itu sejak tiga tahun lalu.
Read More / Baca Lagi >>