Perkara itu diakui Nurul Izzah sendiri yang menyatakan kemungkinan untuk melepaskan parlimen Lembah Pantai disandang sejak dua penggal itu.
“Sama ada kekal, atau di Johor. Jika saya ke Johor, Fahmi akan ganti. Tapi semuanya belum diputuskan. Tunggu keputusan parti nanti,”katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, BN Lembah Pantai sedia berdepan dengan siapa pun calon daripada Pakatan Harapan (Harapan) mahupun parti lawan lain meskipun terpaksa bersaing dengan calon muda.
Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, menyifatkan usia bukan isu utama asalkan khidmat kepada masyarakat dilaksanakan secara konsisten.
“Tak kisah muda atau tua, yang penting kami beri khidmat. Lembah Pantai pun dah dua penggal orang muda, boleh nilai apa kesannya bila ada orang muda. Adakah lebih baik atau tidak berbanding dulu. PRU13 dia (Nurul Izzah) bernasib baik kerana saya menteri, banyak yang saya buat seolah-olah wakil rakyat punya kerja.
“Pada saya siapa pun calon dari Harapan, kita terima. Ada yang cakap, lagi senang ada calon baru untuk lawan. Pada saya tiada beza. Seperti pepatah inggeris ‘sometimes known devil is better than unknown angel’ sebab kalau calon lama banyak isu, calon baru mungkin tiada isu,” katanya.
Beliau bagaimanapun optimis dengan peluang BN merampas kembali kerusi parlimen itu selepas melihat sentimen masa kini yang jauh lebih baik daripada PRU13.
“Soal saya sebagai calon, itu adalah permintaan daripada penduduk dan peringkat bahagian sendiri, apa pun keputusan akhir saya serah kepada pucuk pimpinan,”katanya.