Update PRU14: Jentera terkuat PAS tidak sabar bertemu Dr M jika Azmin tak mahu >> Berita Malay 18

Pengarah pilihan raya negeri Roslan Shahir mengesahkan akan berlaku pertandingan 3 penjuru di Gombak dan DUN di bawah Parlimen itu.
roslan
PAS Selangor tidak sabar menemukan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan jentera PAS kawasan yang mempunyai keahlian terbesar di negeri itu.
Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir mendedahkan PAS Gombak tidak sabar bertemu bekas perdana menteri itu jika Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali tidak mahu bertemu mereka pada pilihan raya umum nanti.
“Kita sedia untuk lawan apatah lagi ia adalah Dr Mahathir,” katanya kepada FMT.
“Kita sudah lancarkan jentera pilihan raya dan sah akan bertanding di kerusi Parlimen dan kerusi DUN. Kita ambil semula kerusi yang sebelum ini diserahkan kepada PKR,” tambahnya, mengesahkan akan berlaku pertandingan 3 penjuru di kawasan Azmin.
Roslan berkata kerusi DUN Batu Caves dan Ulu Kelang di bawah Parlimen Gombak juga tidak stabil. Batu Caves diduduki Amirudin Shari dari PKR sementara Ulu Kelang diduduki Saari Sungib dari Amanah. Kerusi ketiga, DUN Gombak Setia diduduki Hasbullah Mohd Ridzwan dari PAS.
“Kalau ikutkan persempadanan semula, kekuatan politik Melayu semakin teguh di 3 DUN berkenaan dan secara tradisinya, PAS bertanding dengan selesa,” kata Roslan.
Semalam, Azmin mengumumkan sedia melepaskan kerusi Parlimen Gombak yang dipegangnya sejak 2 penggal lepas kepada calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir.
Gombak antara kerusi yang mempunyai jumlah penyokong PAS dan BN yang ramai. Dua daripada 3 DUN di bawah Parlimen itu dimenangi PAS sejak 2 penggal lalu.
Azmin memenangi Parlimen Gombak sejak 2008. Beliau menumbangkan Datuk Said Anuar Said Ahmad dari Barisan Nasional pada PRU12 dengan majoriti 6,867 undi, dan sekali lagi mempertahankan kerusi itu pada PRU13 dengan majoriti undi merosot kepada 4,734 undi.
Roslan percaya kawasan majoriti pengundi Melayu tidak akan melihat kepada kekuatan calon semata-mata tetapi melihat parti.
“Kalau politik kawasan Melayu, ia tidak bergantung sangat dengan calon tetapi sokongan parti terhadap calon berkenaan.
“Calon boleh berubah, Saari Sungib keluar dari PAS pun dia tidak membawa keluar keseluruhan ahli PAS di kawasan Ulu Kelang,” katanya.
Amanah kerah jentera
Sementara itu, Saari Sungib berkata, beliau akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Dr Mahathir sekiranya PKR bersetuju dengan hasrat Azmin.
“Saya sebagai Ketua Amanah Gombak akan kerahkan seluruh jentera untuk membantu calon perdana menteri memenangi Parlimen Gombak,” katanya.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :