Amanah tidak menolak untuk menerima individu daripada bekas menteri atau tokoh politik tertentu untuk bertanding di kerusi yang dijamin boleh menang meskipun sudah berlaku pengagihan kerusi.
Pengarah Pilihan rayanya, Dr Hatta Ramli berkata, pertimbangan utama untuk pengagihan kerusi dan calon adalah kemenangan kepada pakatan pembangkang, lebih-lebih lagi sekiranya datang daripada seorang menteri senior yang berprestasi tinggi.Beliau berkata, perkara itu juga boleh dibuat melalui perbincangan lebih-lebih lagi yang boleh menguntungkan kedua-dua belah pihak dengan mengambil kira situasi semasa, bukan soal sejarah kawasan atau calon sahaja.
“Jika ada mana-mana pemimpin atau menteri dari kerajaan yang hendak melompat parti dan bersama kita, maka dia akan dipertimbangkan untuk bertanding di kawasan yang dirasakan sesuai untuk menang," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai bantahan terhadap jumlah kerusi oleh akar umbi Amanah, beliau berkata, pintu perbincangan sentiasa dibuka, justeru mana-mana pihak boleh menyatakan ketidakpuasan hati mereka.
"Keputusan yang diumumkan wajar diterima tapi tidak salah jika mahu membuat pertukaran kerusi, namun perlu ada persefahaman antara kedua-dua pihak," katanya.
Hatta juga menolak soal Amanah dipinggirkan dalam pembahagian kerusi yang diumumkan pada Konvensyen Pakatan Harapan Ahad lalu.
"Pada saya, jumlah kerusi yang diagihkan mengikut parti itu sudah selesai apabila diumumkan pada konvensyen Ahad lalu.
“Tidak timbul soal parti ini dipinggirkan dalam pengagihan kerusi, dan kali ini dan kami percaya akan diberikan kepercayaan untuk mendapat lebih kerusi di Sabah dan Sarawak, kerusi di Sabah dan Sarawak sedang diteliti dan akan diumumkan minggu depan," katanya.
Jelasnya, ini bermakna pintu perbincangan jumlah kerusi yang akan dipertandingkan dalam Pakatan Harapan masih terbuka, termasuk dalam dalam soal pertukaran kerusi.