Update Pulanglah, Anak Mencarimu >> Berita Malay 18


PUCHONG: Seorang wanita yang mengalami tekanan perasaan dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Kenangan, Batu 13, Puchong, Selangor sejak 3 Januari yang lalu.

wanita tersebut iaitu Norhidayah Norizam, 23, yang juga ibu kepada anak lelaki berusia dua tahun, Muhammad Adam Farhan Abdul Malek dipercayai gagal dikesan dan keluar dari rumah yang didiaminya bersama ibu dan anaknya itu pada jam 2 petang.

Menurut kakaknya Norliyana Norizam, 27, ketika dihubungi berkata, mereka sekeluarga berasa bimbang dengan keadaan anak ketiga daripada empat beradik itu kerana masalah kesihatan yang dihadapinya.

"Hari ini dah lapan hari dia hilang. Kami dah cari dia di sekitar Selangor dan turut memaklumkan kehilangannya di laman sosial termasuk memberikan ganjaran RM500 kepada sesiapa yang menemuinya."

"Anak lelaki wanita terbabit yang masih menyusu badan setiap hari menangis mencari ibunya yang hilang dan kami terpaksa memberi susu formula kepadanya," katanya yang merupakan anak sulung dalam keluarga tersebut.

Tambahnya lagi, adiknya dipercayai terkena sihir sejak dua tahun lalu dan keluarga hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas membawa dia untuk mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Islam Darussyifa di Sungai Buloh setahun lalu.

Wanita terbabit dikatakan kadangkala berkelakuan baik, dan kadangkala meracau dan menjerit-jerit, tetapi apabila diberi minum air Yassin, dia akan pulih seketika.

Ketika mangsa hilang, ibu mangsa iaitu Norhayati Umar Amin Shukri, 45 tiada di rumah kerana bekerja sebagai pemandu van sekolah.

Namun, apabila pulang, ibunya mendapati Norhidayah tiada dan hilang tanpa membawa pakaian atau dokumen pengenalan diri.

Selepas 24 jam kehilangannya, ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis USJ, Subang Jaya.

Mereka sekeluarga memohon bantuan orang ramai untuk mencari adiknya itu, yang berketinggian 175 sentimeter (cm), kurus, berambut pendek dan keriting dengan menghubunginya di talian 0192032004 atau menghantarnya ke balai polis berhampiran. Sumber: Harian Metro, Editor: Amira

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :